SOLAT KHAS MALAM JUMAAT PERTAMA REJAB / RAGHAIB
Soalan: Di tempat saya ada jemaah yang menunai solat Raghaib apabila masuk bulan Rejab. Saya ingin bertanya, apakah solat ini digalakkan? – Aida, Kedah.
Jawapan: Solat Raghaib (الرغائب)ialah solat sunat khas yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab. Mereka mendakwa beberapa kelebihan solat ini berdasarkan hadis yang mereka jadikan sandaran. Untuk menjawab perkara ini saya memetik beberapa hujah berikut;
1. Hadis Nabi s.a.w
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّه عَنْه عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي وَلَا تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الْأَيَّامِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ
Daripada Abi Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa. (Riwayat Muslim).
Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H): “Pada hadith ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada dengan malam-malam yang lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadith ini mengenai kesalahan solat bid’ah yang dinamakan solat al-Raghaib. Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bid’ah yang munkar daripada jenis bid’ah yang sesat dan jahil. Padanya kemunkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya. Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya”. (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211. Beirut: Dar al-Khair).
2. Kata al-Imam al-Nawawi juga dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: “Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).
3. Demikian al-Imam al-Sayuti (meninggal 910H) berkata: “Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib”. Katanya juga: “Ketahuilah sesungguhnya solat yang bid’ah ini menyanggahi kaidah-kaidah Islam dalam beberapa bentuk…”( Al-Sayuti, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’s 52. Beirut: Dar al-Fikr )