• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Keadaan Puasa Mereka Yang Mati Tidak Sempat Qada?

 

Keadaan Puasa Mereka Yang Mati Tidak Sempat Qada

Soalan: Ibu saya tidak berpuasa beberapa hari di Bulan Ramadan tahun lepas disebabkan beliau sakit perut dan juga haid. Niat beliau untuk menggantikan selepas Ramadan. Dukacita selepas Ramadan tahun tersebut beliau tidak sempat qada disebabkan faktor kesihatan beliau. Kemudian beliau meninggal. Apakah wajib untuk kami anak-anak menggantikan puasa beliau?

 

Jawapan Dr MAZA:

Ada beberapa perkara dalam hal ini yang berkaitan dengan hukum syarak. Puasa yang wajib ke atas mukallaf ialah puasa Ramadan, atau nazar, atau puasa kafarah. Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak menunaikan atau menyempurnakan kewajipan puasa-puasa ini, maka terdapat beberapa hukum yang berkaitan dengannya.

Perlu difahami bahawa asasnya, seseorang tidak boleh berbuka puasa pada Bulan Ramadan tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Adapun orang sakit dan musafir mendapat kelonggaran untuk berbuka puasa Ramadan dengan syarat hendaklah dia ganti selepas itu. Sementara wanita yang haid atau nifas, tidak sah dan haram berpuasa. Maka, sesiapa yang berbuka atas keuzuran, atau kerana diharamkan berpuasa maka tiada dosa baginya. Hanya yang menjadi kewajipan ke atasnya menggantikan puasa bagi hari-hari yang telah dia buka.

Ada dua golongan yang berkait dengan puasa ganti ini;

Pertama; sesiapa sakitnya daripada awal memang tiada harapan sembuh atau tiada harapan membolehkan dia menggantikannya, maka menjadi kewajipan ke atasnya untuk membayar fidyah iaitu memberikan makan kepada seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Di Negeri Perlis umpamanya, kadar yang diputuskan sebanyak RM 5. Di bandar besar, kadarnya pasti lebih. Ini boleh ditunaikan dengan hidangan makanan atau bayaran tunai dengan kadarnya.

Kedua; sesiapa yang mampu menggantikan puasa yang ditinggalkan tetapi meninggal sebelum sempat menggantikan, maka terdapat dua keadaan;

Keadaan pertama: dia berusaha mengggantikannya selepas Ramadan tetapi tidak bersempatan disebabkan keuzuran yang lain seperti musafir, sakit, haid, nifas, hamil, menyusu bayi dan seumpamanya. Maka, golongan ini tidak mempunyai sebarang bebanan kecuaian. Dia berbuka atas keizinan dan dia tidak sempat menggantikan juga atas keuzuran. Ertinya, kewajipan belum berlaku ke atasnya, maka tiada gantian atau qada yang wajib ke atasnya. Dengan itu, tidak wajib membayar fidyah dari hartanya dan tidak juga disuruh keluarganya berpuasa untuknya. Ini kerana Nabi s.a.w bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

“Sesiapa yang mati dan atas tanggungannya puasa, maka keluarganya berpuasa untuk” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam ertikata lain, sesiapa yang mati tanpa kewajipan puasa, maka keluarganya tidak perlu berpuasa untuknya. Orang yang tidak kesempatan untuk menggantikan disebabkan keuzuran dibenarkan oleh syarak bererti belum tiba kewajipan qada ke atasnya. Maka, tiada bebanan untuk dibayar samada fidyah ataupun puasa.

Inilah pendapat empat mazhab serta majoriti ulama. Ini seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam al-Majmu’ dan al-Imam Ibn Qudamah (meninggal 620H) dalam al-Mughni.

Keadaan kedua; sesiapa yang meninggalkan puasa dan mempunyai kesempatan untuk ganti tetapi telah sengaja melewatkan sehingga meninggal dunia sebelum sempat menggantikannya. Bagi golongan ini, keluarganya boleh berpuasa untuknya. Namun, ia bukan satu kewajiban ke atas keluarga, sebaliknya pilihan untuk mereka melakukannya. Jika tidak dilakukan, diambil dari harta pusakanya untuk dibayar fidyah puasa. Menurut al-Imam al-Nawawi sekalipun ini merupakan qaul qadim (pendapat lama) al-Imam al-Syafii yang berbeza dengan pendapat baru beliau, tetapi ia merupakan pendapat yang sahih di sisi muhaqqiq (penganalisis) Mazhab al-Syafii . (lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/368. Beirut: Dar al-Fikr). Maka, bagi keadaan yang kedua inilah yang keluarga mempunyai pilihan untuk puasa, atau mengambil dari harta pusaka beliau untuk fidyah.

Mungkin ada yang bertanya; mengapa keluarga tidak wajib puasa ganti untuk si mati? Jawapannya ialah jumhur (majoriti) ulama berpendapat maksud hadis yang menyuruh keluarga menggantikan puasa si mati itu berkenaan adalah satu galakan bukan kewajipan. Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani:

وَقَوْلُهُ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ خَبَرٌ بِمَعْنَى الْأَمْرِ تَقْدِيرُهُ فَلْيَصُمْ عَنْهُ وَلِيُّهُ وَلَيْسَ هَذَا الْأَمْرُ لِلْوُجُوبِ عِنْدَ الْجُمْهُورِ وَبَالَغَ إِمَامُ الْحَرَمَيْنِ وَمَنْ تَبِعَهُ فَادَّعَوُا الْإِجْمَاعَ عَلَى ذَلِكَ وَفِيهِ نَظَرٌ لِأَنَّ بَعْضَ أَهْلِ الظَّاهِرِ أَوْجَبَهُ

Sabda baginda: “Keluarganya berpuasa untuknya” merupakan khabar (berita) yang mengandungi maksud perintah iaitu “hendaklah keluarganya berpuasa untuknya”. Perintah ini bukanlah satu kewajipan di sisi jumhur ulama. Imam al-Haramain dan mereka yang mengikutnya berlebihan sehingga mendakwa ijmak (bahawa ia tidak wajib) berpuasa untuknya. Kenyataan ini (Imam al-Haramain) boleh dipertikaikan kerana sebahagian ulama Mazhab Zahiri mewajibkannya” (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 4/193. Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Kesimpulannya, bagi mereka yang meninggal dunia tanpa menggantikan puasa yang ditinggalkan, sedangkan dia berkesempatan semasa hidupnya, maka keluarga boleh menggantikan puasa tersebut jika mahu melakukannya. Itu satu kebaikan. Jika tidak dilakukan, maka hendaklah diambil dari harta si mati kadar fidyah mengikut hari yang ditinggalkan untuk diberikan kepada fakir miskin. Adapun jika si mati meninggal dunia dalam keadaan tidak berkesempatan menggantikan puasa yang ditinggalkan disebabkan keuzuran yang diiktiraf oleh syarak, maka tidak wajib diambil pusakanya untuk fidyah dan tidak perlu untuk waris berpuasa ganti untuknya.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 35
Semalam 691
Minggu Ini 3039
Bulan Ini 15860

Keseluruhan 3179014

   Masa Capaian : 0.79 saat    Kemaskini :  16/4/2025