• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Mengangkat Tangan Ketika Doa Khutbah Jumaat

Mengangkat Tangan Ketika Doa Khutbah Jumaat

Soalan: Adakah disunatkan menadah tangan semasa berdoa ketika khutbah kedua Jumaat?

 

 

Jawapan Dr MAZA:

Memang pada asalnya disunatkan mengangkat (menadah) tangan ketika berdoa kepada Allah S.W.T melainkan pada tempat yang Nabi s.a.w tidak mengangkatnya. Ini kerana di sana terdapat terlalu banyak hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengangkat tangan dan menyuruh mengangkat tangan semasa berdoa kepada Allah S.W.T.

Walaubagaimanapun, di sana ada tempat-tempat yang tidak mengangkat tangan semasa doa. Ini seperti doa ketika sujud, doa ketika antara dua sujud, ketika tawaf, sa’i dan seumpamanya yang Nabi s.a.w tidak mengangkatnya.

Adapun semasa doa khutbah Jumaat, pendapat yang rajih (yang kuat) tidak diangkat tangan kerana berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, Abu Daud dan selain mereka yang menunjukkan hal itu tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Ini kerana ketika sahabat Nabi ‘Umarah bin Ruwaibah al-Thaqafi melihat gabenor Bani Umayyah Bisyr bin Marwan bin al-Hakam mengangkat di atas mimbar (semasa khutbah), beliau pun berkata:

قَبَّحَ اللَّهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ

“Allah menghodohkan kedua tangan itu. Sesuangguhnya aku melihat Rasulullah s.a.w (semasa khutbah) baginda tidak lebih dari mengisyaratkan dengan tangannya begini iaitu mengisyaratkan dengan jari telunjuknya”.

Kata al-Imam al-Baihaqi (meninggal 458H) dalam al-Sunan al-Kubra:

ثُمَّ فِيهِ مِنَ السُّنَّةِ أَنْ لَا يَرْفَعَ يَدَيْهِ فِي حَالِ الدُّعَاءِ فِي الْخُطْبَةِ وَيَقْتَصِرَ عَلَى أَنْ يُشِيرَ بِأُصْبُعِهِ. وَثَابِتٌ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " أَنَّهُ مَدَّ يَدَيْهِ وَدَعَا وَذَلِكَ حِينَ اسْتَسْقَى فِي خُطْبَةِ الْجُمُعَةِ

“Kemudian dalam hadis ini menunjukkan antara sunnah itu ialah baginda tidak mengangkat kedua tangannya semasa berdoa dalam khutbah, memadai sekadar mengisyaratkan dengan jarinya sahaja. Telah sabit (pasti) daripada (riwayat) Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w bahawa baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa ketika meminta hujan ketika Khutbah Jumaat” (3/297. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Maka, berdasarkan hadis ini dan selainnya, Mazhab Malik, Mazhab Syafii dan ramai tokoh-tokoh sarjana fekah yang lain berpendapat tidak diangkat tangan semasa doa dalam khutbah. Hanya diangkat tangan semasa doa dalam khutbah jika berlaku keperluan istisqa iaitu memohon hujan seperti yang pernah Nabi s.a.w lakukan. Ia bukan kebiasaan dalam Khutbah Jumaat baginda sebaliknya hanya berlaku apabila ada keperluan.  Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam Syarh Sahih Muslim:

فِيهِ أَنَّ السُّنَّةَ أَنْ لَا يَرْفَعَ الْيَدَ فِي الْخُطْبَةِ وَهُوَ قَوْلُ مَالِكٍ وَأَصْحَابِنَا وَغَيْرِهِمْ وَحَكَى الْقَاضِي عَنْ بَعْضِ السَّلَفِ وَبَعْضِ الْمَالِكِيَّةِ إِبَاحَتَهُ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَفَعَ يَدَيْهِ فِي خُطْبَةِ الْجُمُعَةِ حِينَ اسْتَسْقَى وَأَجَابَ الْأَوَّلُونَ بِأَنَّ هَذَا الرفع كان لعارض

“Pada hadis ini (hadis ‘Umarah bin Ruwaibah di atas) menunjukkan sunnah untuk tidak mengangkat tangan (semasa doa) ketika khutbah. Inilah pendapat Malik (bin Anas) dan tokoh-tokoh mazhab kita (Mazhab Syafii) dan selain mereka. Al-Qadi ‘Iyad menukilkan daripada sebahagian ulama salaf dan sebahagian ulama Mazhab Malik yang membolehkannya (mengangkat tangan semasa doa dalam khutbah) kerana Nabi s.a.w mengangkat tangan ketika Khutbah Jumaat semasa meminta hujan. Golongan ulama yang awal (yang melarang) menjawab mengangkat tangan tersebut (semasa minta hujan) adalah disebabkan peristiwa yang terjadi”. (Syarh Sahih Muslim, 6/162. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Maksudnya, Nabi s.a.w mengangkat tangan semasa berdoa meminta hujan dalam khutbah kerana ia berkaitan dengan istisqa’ iaitu doa memohon agar Allah menurunkan hujan. Adapun jika tidak kerana peristiwa itu, baginda tidak mengangkat tangan.

Bahkan al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) dalam Nail al-Autor menyebut pendapat beliau yang menyatakan mengangkat tangan semasa doa khutbah adalah bid’ah (lihat: al-Syaukani, Nail al-Autor, 3/322. Mesir: Dar al-Hadith).

Kesimpulannya; Majoriti ulama berpendapat tidak diangkat tangan semasa doa dalam khutbah melainkan jika untuk memohon hujan. Mereka menganggap itu sebagai makruh, dan ada yang lebih tegas daripada itu.  Kalangan ulama menyatakan makmun sama dengan khatib dalam hal ini.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 33
Semalam 691
Minggu Ini 3037
Bulan Ini 15858

Keseluruhan 3179012

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  16/4/2025