SAHUR ATAU MANDI WAJIB DULU?
Soalan: Dr MAZA, Saya terjaga waktu sahur dalam keadaan berjunub. Masa tidak mencukupi, manakah yang lebih afdal, mandi atau makan sahur?
Jawapan Dr MAZA:
Dahulukan makan sahur sebelum habis waktunya kerana makan sahur merupakan sunnah yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. Sabda baginda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ
“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”.
(Riwayat Muslim).
Sabda Nabi s.a.w juga:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sabda Nabi s.a.w lagi:
تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةٍ من ماء
“Bersahurlah walaupun seteguk air”
(Riwayat Ibn Hibban, hadis hasan)
Adapun mandi junub waktunya tidak dihadkan setakat sebelum masuk subuh bahkan ia boleh dilewatkan sekalipun setelah masuknya waktu subuh. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan baginda berpuasa. Kata Aishah r.aha:
إِنْ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ جِمَاعٍ، غَيْرِ احْتِلَامٍ فِي رَمَضَانَ، ثُمَّ يَصُومُ
“Bahawa Rasulullah s.a.w memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub disebabkan jimak, bukan kerana mimpi namun baginda tetap berpuasa” (Riwayat Muslim).
Maka, dalam keadaan waktu yang tidak mencukupi, saudara bersahur dengan sewajarnya, kemudian mandi wajib untuk menunaikan solat subuh. Adapun jika saudara mempunyai waktu yang mencukupi, maka yang terbaiknya adalah mandi wajib, kemudian menunaikan tahajjud dan beristighfar, kemudian bersahur.
Jika saudara bersahur, kemudian saudara bersetubuh dengan isteri sebelum masuk waktu subuh maka itu juga tidak mencacatkan puasa sekalipun ketika waktu subuh saudara masih belum mandi wajib. Adapun amalan sunnah ialah sahur dilewatkan sehingga hampir masuk waktu subuh.