KANAK-KANAK DI MASJID: ANTARA SUNNAH DAN SIKAP YANG TIDAK MESRA
Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin -
- Islam memberikan persekitaran yang mesra dan selesa kepada perkembangan seseorang anak. Islam tidak pernah melayankan kanak-kanak dengan layanan yang hina seperti yang dilakukan oleh SEGELINTIR orang masjid. Islam tidak pernah menjadikan anak kecil penghalang antara seorang dengan Allah. Kata Abu Qatadah al-Ansari:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لأَبِي الْعَاصِ بْنِ الرَّبِيعِ فَكَانَ إِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا
“Rasulullah s.a.w pernah solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah, anak kepada (suaminya) Abi al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Shams. Apabila baginda mahu sujud baginda meletakkannya. Apabila bangun baginda mendukungnya kembali” (Riwayat al-Bukhari). - Demikianlah kemesraan agama dengan kehidupan kanak-kanak. Kemesraan seperti ini tidak kelihatan dalam kejumudan fikiran sesetengah orang yang enggan melihat agamanya dari jendela sunnah Nabi s.a.w tetapi lebih selesa dengan ikutan golongan yang keras dan mengandaikan agama menurut perasaan mereka yang hambar. Dalam hadis sahih riwayat Abu Ya’la, Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan al-Nasai, Rasulullah s.a.w pernah sujud begitu panjang dalam satu solat disebabkan cucu baginda al-Hasan atau al-Husain -rawi hadis tidak pasti- menaiki tengkuk baginda ketika sedang sujud. Sahabat kehairan dan bertanya sebab. Baginda menjawab:
ابْنِي ارْتَحَلَنِي فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ
“Sesungguhnya anakku (cucuku) telah menjadikan aku tunggangannya. Aku tidak suka mengganggunya sehingga dia tunai hajatnya” - Suasana yang mesra ini telah melahir generasi muda yang mewarisi generasi tua yang sentiasa merasakan tiada dinding penghalang antara mereka dan agama ini. Sejak dari kecil mereka diraikan. Sabda Nabi s.a.w:
إِنِّي لَأَقُومُ إِلَى الصَّلَاةِ فَأُرِيدُ أَنْ أُطَوِّلَ فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ , فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلَاتِي كَرَاهِيَةَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمِّهِ
"Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya" (Riwayat al-Bukhari). - Dukacita jika berlaku kanak-kanak yang sudah pun boleh bersolat dihalau ke belakang oleh orang tua yang ‘berlagak pandai’. Kemudian selepas itu memarahi anak-anak di masjid kerana tidak serius dalam solat. Apa tidaknya, mereka bersama saf dengan dengan kanak-kanak yang lain. Tentu kenakalan itu kadang-kala muncul. Jika mereka duduk di samping bapa mereka tentu mereka dapat dididik adab solat berjemaah.
- Kata al-Imam Ibn Hajar al-Haitami (meninggal 974H) dalam fatwanya:
الصِّبْيَانَ مَتَى سَبَقُوا الْبَالِغِينَ إلَى الصَّفِّ الْأَوَّلِ لَمْ يَجُزْ لَهُمْ إخْرَاجُهُمْ
(Kanak-kanak jika mereka telah mendahului orang-orang yang baligh ke saf yang awal, maka tidak boleh mengeluarkan mereka dari saf) [Fatawa al-Fiqh al-Kubra, 1/299. Beirut: al-Maktabah al-Islamiyyah] - Untuk menghalalkan perbuatan tidak mesra kanak-kanak itu dipilihlah pendapat yang menyatakan kanak-kanak belum berkhatan itu najis. Satu saf akan batal sebab bawah kulit kanak-kanak itu ada najis. Saya selalu bertanya: “apakah bawah kulit orang tua dan dalam perut orang tua tiada najis?!! Jangan memilih pendapat-pendapat fekah yang menyusahkan dan menghilangkan semangat dakwah Islam sedangkan kita mempunyai banyak pilihan pendapat yang lebih munasabah. Bahkan perbuatan orang tua menghalau kanak-kanak dari saf dan mengambil tempat mereka telah menyanggahi adab Islam yang diajar oleh Nabi s.a.w
لاَ يُقِيمُ الرَّجُلُ الرَّجُلَ مِنْ مَجْلِسِهِ ثُمَّ يَجْلِسُ فِيهِ
Jangan seseorang membangunkan orang lain dari tempatnya, kemudian dia duduk di situ” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). - Ketika Ibn ‘Abbas masih kanak-kanak, beliau bercerita:
فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَأَخَذَ بِرَأْسِي فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ
"..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari).
Kata Anas bin Malik :
فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا
“…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari). - Seorang ulama fekah ternama, Al-Syeikh Muhammad Salih Ibn Uthaimin r.h telah membantah dakwaan golongan yang menyuruh saf kanak-kanak ditolak ke saf belakang untuk memberi ruang kepada orang dewasa. Beliau juga menjelaskah maksud hadis Muslim yang meminta ‘Ulul al-Ahlam wa al-Nuha’ di belakang imam. Kesimpulan antara yang dijelaskan oleh beliau ialah hadis tersebut meminta orang lebih dewasa itu lebih awal datang bukan mengeluarkan kanak-kanak dari saf yang lebih depan jika mereka terlebih dahulu sampai. Adapun, mengeluarkan kanak-kanak dari saf akan menimbulkan rasa tidak puas hati kanak-kanak tersebut dan kemungkinan mereka tidak mahu datang lagi ke masjid. Juga, jika mereka bersama saf kanak-kanak kemungkinan mereka akan bermain-main dalam solat. Seterusnya, antara tujuan solat jamaah ialah mengajar orang yang tidak tahu. Jika mereka itu dalam kalangan saf dewasa maka mereka dapat belajar. Jika dalam saf sesama mereka, bagaimana hendak mereka belajar? (lihat: Muhammad Salih ibn Uthaimin, Al-Durus al-Fiqhiyyah min al-Muhadarat al-Jami’iyyah, 1/482-483. Saudi: Muaasasah al-Syeikh Muhammad Salih ibn Uthaimin al-Khairiyyah)
- Kita diperintahkan menyuruh anak-anak bersolat ketika berusia tujuh tahun sebelum memukulnya dengan tujuan mendidik pada usia sepuluh tahun. Sabda Nabi s.a.w:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ
“Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).
Ertinya ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya ‘marilah bersolat’. Ertinya, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga solat sebati dengannya dan dia mengasihi solat. Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan. Jika bapanya bersolat di masjid dia bersama bapanya bersolat. Dia memerhati dan melihat pergerakan bapanya. Bagaimana rukuk, sujud dan segala pergerakan yang lain. Jika dia dihalau jauh ke belakang bersama anak-anak lain yang sepertinya, apakah yang dapat dia pelajari?! - Ada masjid menempatkan saf kanak-kanak jauh ke belakang bagaikan ‘ makhluk jijik’ yang tidak boleh sentuh. Kemudian mereka mungkin bising sesama mereka, maka akan ada orang dewasa yang menengking dan menghalau mereka balik.
Perbuatan itu menyakitkan hati bapanya, bahkan merisaukannya keselamatan kanak-kanak jika masjid dalam kawasan yang bahaya. Antara tujuan solat jamaah untuk mengukuh ukhuwwah sesama muslim akan menjadi sebaliknya. Saya melihat orang-orang yang menyuruh kanak-kanak ke belakang dengan cara yang demikian seperti Al-Aqra’ bin Habis apabila melihat Nabi s.a.w mencium cucu baginda al-Hasan bin ‘Ali, lalu dia berkata bahawa dia mempunyai sepuluh orang anak, tiada seorang pernah dia cium. Nabi s.a.w berkata kepadanya:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
“Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia tidak akan dikasihi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). - Namun ini bukan tidak bererti anak-anak dibiarkan membuat bising dan mengganggu orang lain yang sedang bersolat, sebaliknya mereka dididik dan ditegur dengan cara yang baik oleh ibubapa dan masyarakat. Masjid juga bukan tempat ibubapa melepaskan tanggungjawab anak-anak bising di rumah dibawa untuk bising di masjid. Cuma pastikan mereka tidak dilayan dengan cara yang menyebabkan mereka membesar dalam keadaan merasakan institusi agama amat tidak mesra dengan mereka. Kadang-kala mereka bising disebabkan cara kita mengatur mereka, hal ini mesti dibaiki.
- Anak-anak membesar dalam agama ini dengan didikan yang lunak. Kata sahabiyyah Nabi s.a.w yang bernama al-Rubaiyyi’ binti Muawwiz:
فَكُنَّا، بَعْدَ ذَلِكَ نَصُومُهُ، وَنُصَوِّمُ صِبْيَانَنَا الصِّغَارَ مِنْهُمْ إِنْ شَاءَ اللهُ، وَنَذْهَبُ إِلَى الْمَسْجِدِ، فَنَجْعَلُ لَهُمُ اللُّعْبَةَ مِنَ الْعِهْنِ، فَإِذَا بَكَى أَحَدُهُمْ عَلَى الطَّعَامِ أَعْطَيْنَاهَا إِيَّاهُ عِنْدَ الْإِفْطَارِ
“..selepas itu kami pun berpuasa dan menjadikan anak-anak kecil kami berpuasa. Jika Allah kehendaki, kami juga pergi ke masjid membawa mereka. Kami buat untuk mereka mainan dari bulu berwarna. Jika mereka menangis lapar kami berikan mainan tersebut sehingga sampai waktu berbuka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibn Hibban). - Demikian agama ini berkembang dalam kehidupan anak-anak dengan pujkan. Ia tidak berkembang dengan kebencian dan anggapan mereka itu pengacau dan seumpamanya. Mereka dididik dan dikawal agar tidak mengganggu orang lain, namun dengan mesra. Jika masih tidak terkawal, barulah ibubapa sepatutnya tidak membawa ke masjid atau selainnya. Kadang-kala sikap masyarakat menyebabkan ibubapa rasa bersalah tanpa sebab apabila membawa anak ke masjid.