MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-19/2015
TARIKH: 24-25 Ogos 2015 / 9-10 Zulkaedah 1436H
FATWA ZIKIR MENARI
Menari bagi tujuan berzikir adalah bercanggah dengan nas-nas syara’ dan tujuan pensyariatan zikir itu sendiri. Hal ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan generasi al-Salaf al-Soleh. Zikir hendaklah dilakukan dalam keadaan khusyu’ dan tenang.
Nas-nas yang cuba digunakan untuk membolehkan perbuatan menari dengan tujuan berzikir seperti takwilan terhadap ayat 191 surah Ali Imran, kisah Ja’far, peristiwa tarian Habasyah, tamayul beberapa Sahabah Nabi SAW dan lain-lain, adalah:
- Ditafsirkan secara salah, atau
- Riwayat itu tidak sahih, atau
- Pendalilan di luar konteks.
Adapun zikir dalam segala keadaan yang diizinkan oleh syara’ seperti semasa bekerja, memandu, bersukan dan seumpamanya adalah sesuatu yang terpuji.
Maka seorang muslim hendaklah membezakan antara menari untuk berzikir sebagai satu ibadat, dengan zikir semasa melakukan aktiviti kehidupan.
Adapun menari untuk berzikir secara khusus mendekatkan diri kepada Allah adalah dilarang syara’. Sementara berzikir semasa melakukan aktiviti yang baik adalah sesuatu yang digalakkan.
Adapun tamayul (gerakan) yang berlaku secara spontan tanpa diniatkan sebagai ibadat semasa berzikir atau membaca al-Quran dan lain-lain adalah tidak dilarang.