RESOLUSI
PERSIDANGAN MAJLIS ILMUWAN NUSANTARA
KALI KE-2, TAHUN 2024
Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Kedua yang diadakan pada 11 sehingga 13 Jamadilawal 1446H bersamaan 14 sehingga 15 November 2024, bertempat di Bilik Gerakan 1, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, yang disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua MAIPs, telah bersetuju dengan perkara-perkara berikut:
Islam Mengimbangi Antara Syariat Dan Adat
1.Islam adalah prinsip atau panduan kehidupan, sementara adat, budaya dan seni pula merupakan cara kehidupan manusia yang pasti wujud. Adat, budaya dan seni merupakan identiti (identitas) kaum dan bangsa yang Allah SWT firmankan dalam Surah al-Hujurat ayat 13. Maksud kenal mengenal antara kaum dan bangsa dalam ayat tersebut, sudah pastilah bukan hanya mengenali wajah tetapi juga mengenali latar kehidupan yang merangkumi adat, budaya dan seni.
2.Adalah menjadi kepentingan untuk meneliti adat, budaya dan seni dalam menilai perbuatan, perkataan serta maksud sesuatu kaum. Justeru, para fuqaha’ menjadikan kefahaman terhadap adat, latar kaum, dan tempat sebagai salah satu syarat dalam berfatwa. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah (751 H):
وَمَنْ أَفْتَى النَّاسَ بِمُجَرَّدِ الْمَنْقُولِ فِي الْكُتُبِ عَلَى اخْتِلَافِ عُرْفِهِمْ وَعَوَائِدِهِمْ وَأَزْمِنَتِهِمْ وَأَمْكِنَتِهِمْ وَأَحْوَالِهِمْ وَقَرَائِنِ أَحْوَالِهِمْ فَقَدْ ضَلَّ وَأَضَلَّ، وَكَانَتْ جِنَايَتُهُ عَلَى الدِّينِ أَعْظَمَ مِنْ جِنَايَةِ مَنْ طَبَّبَ النَّاسَ كُلَّهُمْ عَلَى اخْتِلَافِ بِلَادِهِمْ وَعَوَائِدِهِمْ وَأَزْمِنَتِهِمْ وَطَبَائِعِهِمْ بِمَا فِي كِتَابٍ مِنْ كُتُبِ الطِّبِّ عَلَى أَبْدَانِهِمْ، بَلْ هَذَا الطَّبِيبُ الْجَاهِلُ وَهَذَا الْمُفْتِي الْجَاهِلُ أَضَرُّ مَا عَلَى أَدْيَانِ النَّاسِ وَأَبْدَانِهِمْ
“Sesiapa yang berfatwa kepada masyarakat dengan sekadar memetik dari pelbagai kitab, sedangkan terdapat perbezaan pada uruf, adat, masa, tempat, keadaan, dan hubungan suasana, maka dia telah sesat lagi menyesatkan. Jenayah tersebut terhadap agama adalah lebih besar daripada jenayah seseorang yang mengubati tubuh badan orang ramai dengan hanya berdasarkan satu kitab daripada pelbagai kitab perubatan, dalam keadaan terdapat perbezaan tempat, adat budaya, waktu, dan tabiat. Bahkan ini tabib yang jahil dan ini pula mufti yang jahil yang lebih mudarat kepada agama dan badan manusia”.
(I’lām al-Mūwaqqi’īn ‘An Rabb al-‘Ālamīn, 3/66)
3.Adat dan budaya merupakan kebiasaan yang diamalkan oleh suatu kaum atau komuniti masyarakat yang mereka telah terbiasa dengan amalan tersebut. Ini merangkumi amalan tradisi, pakaian, kesenian, hiburan seperti lagu dan tarian, cara berbahasa dan berkomunikasi dalam urusan kehidupan dan segala amalan atau nilai yang sudah berakar dalam kehidupan masyarakat. Dari segi klasifikasi hukum syarak; adat, budaya dan seni ini pada asalnya berada dalam urusan muamalah kehidupan manusia, bukan ibadah khusus. Maka kaedah yang terpakai dalam perkara ini ialah “الأصل في الأشياء الإباحة” (asal bagi sesuatu perkara - bukan ibadah - adalah dibolehkan).
4.Namun, adat, budaya dan seni boleh menjadi bertentangan atau bersalahan dengan Islam sekiranya terdapat perkara-perkara berikut:
i. Kepercayaan atau iktikad yang menyalahi dan menyelisihi akidah Islam seperti unsur syirik, tahayul dan khurafat.
ii. Dianggap sebagai ibadah khusus yang dianjurkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya padahal tiada dalil dari al-Quran dan al-Sunnah, maka ia menjadi bidaah dalam agama.
iii. Kontradiksi dengan hukum syariat seperti meninggalkan solat, membuka aurat, memakan, meminum atau memakai perkara yang diharamkan oleh syarak, mengambil harta pihak lain tanpa izin dan seumpamanya.
iv. Terdapat amalan yang bertentangan dengan akhlak Islam seperti menzalimi pihak lain atau mengaibkan (mempermalukan) atau menimbulkan sangkaan buruk atau menjatuhkan maruah, memecah-belahkan masyarakat dan seumpamanya.
v. Menyerupai ritual dan syi’ar agama lain yang tidak boleh ditafsirkan melainkan seseorang itu menganut atau merestui ritual dan syi’ar agama tersebut.
5.Adat dan budaya yang terdapat perkara-perkara yang diharamkan syarak tidaklah semestinya dihapuskan, sebaliknya boleh diperbaiki (iṣlāḥ) dengan memurnikan adat, budaya dan seni tersebut dengan cara membuang unsur-unsur yang haram. Hal ini adalah seperti Nabi SAW membetulkan lirik nyanyian wanita dalam majlis perkahwinan:
عن الرُّبَيِّعِ بِنْتِ مُعَوِّذِ بْنِ عَفْرَاءَ: جَاءَ النَّبِيُّ rفَدَخَلَ حِينَ بُنِيَ عَلَيَّ، فَجَلَسَ عَلَى فِرَاشِي كَمَجْلِسِكَ مِنِّي، فَجَعَلَتْ جُوَيْرِيَاتٌ لَنَا، يَضْرِبْنَ بِالدُّفِّ وَيَنْدُبْنَ مَنْ قُتِلَ مِنْ آبَائِي يَوْمَ بَدْرٍ، إِذْ قَالَتْ إِحْدَاهُنَّ: وفينَا نَبِيٌّ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ، فَقَالَ: دَعِي هَذِهِ، وَقُوْلِي بِالَّذِي كُنْتِ تَقُولِيْنَ.
Daripada Rubayyi’ binti Mu‘awwidz bin ‘Afra’: “Nabi SAW datang (ke majlis) ketika aku dikahwini. Baginda duduk di atas hamparanku ini seperti kedudukanmu. Lalu beberapa jariah (anak-anak perempuan Ansar) memukul duf (rebana), mereka menyebut sifat-sifat mulia orang-orang tua mereka yang gugur dalam peperangan Badr”. Salah seorang daripada mereka berkata: “Dalam kalangan kami terdapat seorang nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku esok hari.” Baginda bersabda: “Tinggalkan ungkapan ini, ungkapkan sahaja ungkapan yang engkau sebutkan sebelumnya”.
(Sahih al-Bukhari)
6.Adat, budaya dan seni yang tidak bertentangan dengan syarak boleh digunakan sebagai wasilah dakwah. Ini seperti memasukkan unsur-unsur yang baik ke dalam karya seni.
7.Adat, budaya dan seni yang membawa kepada maslahah dianjurkan oleh Islam meskipun bukan dari masyarakat Islam. Kata Anas bin Malik RA:
أَنَّ النَّبِيَّ r أَرَادَ أَنْ يَكْتُبَ إِلَى كِسْرَى، وَقَيْصَرَ، وَالنَّجَاشِيِّ، فَقِيلَ: إِنَّهُمْ لَا يَقْبَلُونَ كِتَابًا إِلَّا بِخَاتَمٍ،فَصَاغَ رَسُولُ اللهِ r خَاتَمًا حَلْقَتُهُ فِضَّةٌ، وَنَقَشَ فِيهِ: مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ.
“Nabi SAW ingin mengutus surat kepada Kisrā, Qayṣar, dan al-Najāsyī. Lalu dikatakan: mereka tidak menerima surat melainkan setelah (disahkan) dengan cop (stempel). Maka Rasulullah SAW membuat sebentuk cincin daripada perak, dan diukir padanya: Muhammad Rasul Allah”
(Sahih Muslim)
8.Adat, budaya dan seni sekalipun tidak mempunyai unsur keagamaan seperti dakwah atau ketuhanan tetap dibolehkan, selagi mana tiada perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat. Adat, budaya dan seni tersebut diizinkan dan tidak boleh diharamkan atas nama Islam.
9.Usaha mengislamisasi sesuatu adat, budaya dan seni merupakan sesuatu yang baik, namun hendaklah berhati-hati agar adat, budaya dan seni itu tidak dianggap sebagai satu ibadah khusus dalam agama, sehingga akhirnya menjadi bidaah.
10.Islam tidak mewajibkan adat, budaya dan seni kaum atau bangsa ditukarkan kepada adat, budaya dan seni Arab, Melayu atau selainnya. Tujuan kedatangan Islam adalah menegakkan tauhid, syariat dan akhlak yang mulia, bukan ‘arabisasi’ adat, budaya dan seni kaum yang lain.
11.Menghormati adat, budaya dan seni sesuatu kaum merupakan ajaran Islam. Sikap keras menentang semua adat, budaya dan seni sesuatu kaum tanpa alasan syarak menyelisihi pendirian Nabi SAW:
عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الْأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِيُّ اللهِ r: يَا عَائِشَة، مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهوٌ؛ فَإِنَّ الْأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللهْوُ.
Daripada ‘Aisyah RA: “Beliau membawa pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki dari kalangan Ansar. Lalu Nabi SAW bersabda: “Wahai ‘Aisyah, mengapa tiada iringan hiburan (rebana dan nyanyian)? Sesungguhnya golongan Ansar menyukai hiburan”.
(Sahih al-Bukhari)
12.Mengadaptasi adat, budaya dan seni suatu kaum adalah dibolehkan selagi tidak menyelisihi syarak kerana itu urusan (muamalat) duniawi. Ini seperti mengamalkan adat, budaya dan seni Arab, Melayu, atau Cina oleh seseorang yang bukan dari kaum tersebut. Namun begitu, syarak melarang pakaian dan perbuatan yang syuhrah atau ganjil dalam masyarakat:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ r: "مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ أَلْبَسَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ"
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah (ganjil), Allah SWT akan memakaikan kepadanya pada hari kiamat dengan pakaian kehinaan”.
(Sunan Ibn Majah, hadis bertaraf hasan)
13.Setiap muslim hendaklah berusaha menghidupkan dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakatnya sehingga menjadi amalan kebiasaan yang tidak ditinggalkan lagi kerana tujuan mencari keredhaan Allah SWT.
AHLI PERSIDANGAN:
- Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis
- Profesor Dr Ismail Lutfi Japakiya, Rektor Universiti Fatoni Thailand
- Prof. Dr. H. Syamsul Anwar, MA., Ketua Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia
- Dr Hosen Mohamad Farid, Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA) Kemboja
- Ustaz Dr. Ma Thanh Thanh Hoang / Dr Basiron, Tokoh Ilmuan Vietnam
- YAA Tuan Haji Jaidi bin Ahmad, Ketua Hakim Syarie Perlis
- Tuan Haji Mohd Nazim bin Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
- K.H. Dr. Nashirul Haq Marling, MA., Ketua Umum Hidayatullah Indonesia
- Prof. Madya Dr Muhammad Ameen Khoya, Ketua Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Fatoni Thailand
- Profesor Dr. Muhammad Rozaimi bin Ramli, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)
- Dr. KH. Jeje Zaenudin, M.Ag, Ketua Umum Pimpinan Pusat Persatuan Islam (PERSIS) Indonesia
- YB Datuk Dr. Hj. Ahmad Marzuk bin Shaary, Mantan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Islam Malaysia
- Syaikh Wan Syukri bin Wan Ismail al- Fathoni, Musyrif Majlis Ilmi Dumyat City, Fatoni Thailand
- Profesor Dr Basri Ibrahim, Dekan Fakulti Pengajian Islam, KUIPs
- Tuan Haji Tajul Urus bin Abdul Halim, Timbalan Mufti Negeri Perlis
- Dr. H. Rahmat Abdul Rahman Lc. M.A, Ketua Harian, Dewan Pengurus Pusat Wahdah Islamiyyah Indonesia
- Dato’ Dr Johari bin Mat, Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia
- Ustaz Dr. Muhammad Yusram Anshar, M.A., Sekolah Tinggi Ilmu Islam dan Bahasa Arab (STIBA) Makassar Indonesia.
- al-Fadhil Dr. Abdullah bin Yasin, Pengerusi Majlis Syura Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA)
- Ustaz Fahmi Salim, M.A, Direktor al-Fahmu Institut, Pusat Dakwah al-Quran Indonesia
- Tuan Haji Najmuddin bin Abdul Karim ,Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)
- Dr. H. Saidul Amin, M.A, Rektor Universiti Muhammadiyah Riau (UMRI) Indonesia & Pimpinan Muhammadiyah Riau
- Profesor Madya Dr Roshimah binti Shamsudin Malaysia, Prof. Madya (Hadis) Universiti Sains Malaysia (USM)
- Ustaz Nidhol Masyhud, Pengarah Pusat Kajian Akidah Ihkam, Indonesia
- Ustaz Mohd Khairil Anwar bin Abd Latif, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia
- Dr Muhammad Lukman bin Mat Sin, Timbalan Dekan Fakulti al-Quran dan al-Sunnah KUIPs
- Ustaz Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin Jamalullail, AJK Fatwa Negeri Perlis
- TAMAT -