ADAKAH DISYARIATKAN MENANAM BANGKAI BINATANG?
Oleh: Mohd Azri Mohd Nasaruddin
Terdapat satu kata-kata masyhur yang disandarkan pada Nabi saw, iaitu “Dari menghormati si mati adalah dengan mengebumikannya”. Pada hakikatnya, ini bukanlah kata-kata baginda saw, ianya hanyalah kata-kata ulama’ yang sudah dinasabkan kepada Nabi saw. Kata Al-Sakhaawi: “Aku tidak menemui hadis “Dari menghormati si mati adalah dengan mengebumikannya” di dalam riwayat yang marfu’ (bersambungan kepada Nabi saw). Adapun ianya diriwayatkan oleh Ibnu Abi Al-Dunya di dalam bukunya Kitab Al-Maut, melalui Ayub Al-Sakhtiyaani. Beliau berkata: Telah dikatakan bahawa tanda menghormati si mati bagi ahli keluarganya yang ragu-ragu bagi mengebumikannya”. (Al-Maqasid Al-Hasanah: ms. 141)
Adapun bagi kes binatang yang sudah menjadi bangkai, tidak disyariatkan di dalam Islam secara amnya bagi mengebumikannya. Perkara sebegini mungkin lebih dibincangkan di dalam konteks haiwan peliharaan yang sudah mati, sehingga ke tahap didirikan kubur yang khas bagi mereka. Namun kepentingan (priority) di dalam perkara ini turut berbalik kepada manfaat ke atas manusia jua, iaitu; dengan tidak tertanamnya bangkai haiwan tersebut akan mendatangkan kemudaratan kepada manusia di sekelilingnya, maka diwajibkan agar binatang tersebut ditanam atau dikebumikan dengan baik. Sebagaimana diketahui, bangkai binatang yang tidak ditanam akan mereput dan menyebarkan kuman-kuman dan bakteria yang memberikan pelbagai penyakit kepada manusia. Paling tidak sekalipun baunya tidak menyenangkan, apa lagi jika bangkai tersebut berada di tempat himpunan manusia, seperti masjid, pejabat atau kediaman.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ra: “Seekor kambing telah didermakan sebagai sedekah kepada Maimunah, seorang hamba yang telah dibebaskan. Namun kambing tersebut mati. Kemudian baginda Nabi saw melalui (kawasan bangkai tersebut) dan bersabda: “Apa kata kalian mengambil kulitnya dan sertukannya, dan ambil manfaat daripadanya?”. Lalu kata sahabat: “Ia telah mati ya Rasulullah (ertinya mati dengan sebab tabi’I dan tidak disembelih, maka ianya dikira bangkai). Lalu sabda Nabi saw: “Ianya hanya haram untuk dimakan”. (HR Al-Bukhari & Muslim).
Maka dari hadis ini, jelas kita fahami bahawa baginda saw tidak mengarahkan agar bangkai binatang tersebut ditanam secara terus. Namun baginda saw menyuruh dan menyarankan agar para sahabat ra mengambil manfaat dari bangkai binatang tersebut. Oleh itu jelas, salah satu pengajaran hadis ini adalah tidak disyariatkan bangkai binatang itu ditanam, kerana jika ianya sedemikian maka baginda saw pasti akan mengarahkannya, kerana dari sifat rasul itu mereka tidak berdiam diri dari kebatilan jika ianya berlaku di hadapan mereka. Dengan ini, hukum menanam bangkai binatang adalah wajib sekiranya ianya mengganggu umat manusia, dan tidaklah wajib berbuat demikian jika ianya tidak termasuk dalam kategori tersebut. Wallahualam.