8 November 2024 : Mimbar Jumaat pada hari ini telah membicarakan berkenaan Akidah Islam : Akidah Yang Mudah Difahami. Teks Khutbah ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Akidah Islam adalah apa yang perlu diyakini sepenuhnya dalam jantung hati seseorang Muslim. Ia merangkumi keimanan bahawa tuhan yang sebenar-benarnya hanyalah Allah SWT. Dialah Allah yang mencipta, memiliki dan mentadbir sekalian makhluk. Dialah Allah, satu satunya tuhan yang menganugerahkan nikmat kepada sekalian makhluk. Dialah Allah, satu satunya tuhan yang berkuasa menolak sebarang keburukan dari menimpa makhluk. Keyakinan seperti ini dinamakan sebagai Tauhid Rububiyyah.
Selain daripada Tauhid Rububiyyah ini, umat Islam juga dituntut supaya mentauhidkan Allah pada Uluhiyyah, yang bermaksud mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya tuhan yang berhak disembah dan diperhambakan diri hanya kepada-Nya. Setelah itu kita dituntut untuk meyakini bahawa Allah yang ditauhidkan pada Rububiyyah dan Uluhiyyah itu, memiliki Al-Asma` Was-Sifat, iaitu nama-nama dan sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan Maha Mulia, tiada persamaan dengan mana-mana makhluk.
Antara intipati yang diketengahkan juga adalah berkenaan akidah yang dibawa oleh Nabi SAW adalah mudah, memenuhi prinsip kesejahteraan dan keamanan. Akidah yang dibawa oleh baginda Nabi SAW merangkumi akhlak bagi menyucikan jiwa dan mendidik jantung hati nurani kepada sifat-sifat termulia dan terpuji. Akidah Islam selaras dengan fitrah manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ia memberi penekanan kepada pengukuhan akidah dalam jantung hati.
Mimbar jumaat turut menegur sikap segelintir pendakwah yang menggambarkan akidah sebagai sesuatu yang rumit, sehingga memerlukan para sheikh sekian dan sekian untuk menjelaskan perinciannya.
Perkara ini berlaku akibat mengabaikan sumber asal akidah Islam iaitulah Al-Quran dan al Sunnah yang sahih daripada Nabi SAW. Lalu mereka merujuk kepada kitab-kitab ahli Kalam dan pandangan para ahli falsafah. Hasilnya akidah Islam yang mudah, yang mesti difahami oleh semua orang, baik yang berilmu mahupun yang awam, menjadi terlalu sukar dan teramat rumit. Sehingga terungkap ungkapan mereka yang menyebut:“Jika mengaji akidah sehingga tidak faham, maka itulah kemuncak kefahaman”.
Pada khutbah berkenaan juga, khatib turut menyampaikan beberapa panduan kepada para jemaah sebagai pedoman berkenaan ciri-ciri akidah yang benar. Antaranya ialah bersumberkan al-Quran ,hadis-hadis Nabi yang sahih, jelas dan mudah difahami oleh semua orang dan menjauhkan seseorang muslim dari keraguan dan syak, menjadikan seseorang yang berpegang dengan akidah yang benar ini berada dalam keadaan tenang serta merasa aman.
Teks khutbah jumaat ini boleh di muat turun di laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis untuk rujukan bersama.