Kangar, 9 Oktober 2024– Sesi refleksi perhutanan bersama Mufti Negeri Perlis, YBhg. SS Prof. Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, berlangsung sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Ke-44 yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, Kangar. Persidangan ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato' Hj. Zahari bin Ibrahim, serta Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Perancangan), YBhg. Dato' Mohd Rahim bin Rani, bersama para pengarah Jabatan Perhutanan dari seluruh Malaysia.
Dalam sesi tersebut, Mufti Negeri Perlis menekankan pentingnya menjaga kelestarian alam, khususnya hutan, yang semakin diancam oleh tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak. Beliau mengingatkan bahawa manusia sebagai khalifah di bumi mempunyai amanah besar untuk melindungi alam sekitar, dan kegagalan melaksanakannya bukan sahaja membawa kemusnahan kepada alam tetapi juga berdosa disisi agama.
Antara topik utama yang dibincangkan dalam sesi refleksi ini ialah kerosakan hutan yang kian meningkat akibat aktiviti tidak bertanggungjawab seperti pembalakan haram dan pembangunan yang tidak lestari. Kehadiran pengarah-pengarah jabatan perhutanan dari seluruh negara memberi peluang untuk berbincang dan mencari solusi terbaik dalam usaha memelihara khazanah alam negara.
Beliau menegaskan urusan menjaga dan mempertahankan alam sekitar adalah sebahagian dari urusan agama. Beliau turut menyatakan Negeri Perlis telah mengeluarkan fatwa berkenaan penjagaan alam sekitar yang boleh dilayari di laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Persidangan ini menjadi platform penting untuk menyemarakkan semangat pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan pengarah jabatan perhutanan, dengan sokongan dari pihak berautoriti agama dalam menyampaikan mesej moral dan etika penjagaan alam semula jadi.
Persidangan ini dijangka memberikan impak positif kepada dasar-dasar perhutanan yang akan datang, selari dengan tanggungjawab menjaga alam sekitar demi kepentingan generasi masa depan.