Pulau Pinang - 12 Ogos 2024, Mufti Negeri Perlis, SS Prof. Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd. Asri bin Zainul Abidin telah menyampaikan ucaptama bertajuk 'Tanggungjawab Pendidik Dari Kacamata Mufti' sempena Majlis Pembukaan Kursus Sijil Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP) Universiti Sains Malaysia (USM) 2024.
Dalam ucaptama tersebut, beliau telah menekankan pentingnya peranan pendidik dalam membentuk sahsiah dan akhlak pelajar. Beliau menyatakan bahawa pendidik tidak hanya bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga untuk mendidik pelajar dengan nilai-nilai murni dan etika yang baik. Menurutnya, tugas pendidik adalah memupuk nilai-nilai integriti, kejujuran, dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar supaya mereka menjadi individu yang berakhlak dan bertanggungjawab. Pendidik juga perlu memberi pendidikan dengan niat yang ikhlas dan rasa kasih sayang .
SS. Prof. Dato' Arif Perkasa Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin turut menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi oleh pendidik dalam era digital dan globalisasi. Beliau menyeru agar pendidik terus beradaptasi dengan perkembangan teknologi tanpa mengabaikan nilai-nilai asas yang perlu diterapkan dalam pendidikan. Beliau juga memberi penekanan kepada kepentingan pendidikan berterusan untuk memastikan pendidik sentiasa relevan dan berpengetahuan dalam bidang masing-masing.
Ucapan beliau diakhiri dengan dorongan kepada semua peserta kursus untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini, memperkukuhkan kemahiran pengajaran mereka, dan memberi impak positif kepada masyarakat melalui dedikasi dalam pendidikan.
Majlis ini dihadiri oleh para pendidik, akademik, dan pegawai dari pelbagai institusi pendidikan, serta disertai oleh peserta kursus yang terlibat dalam program ini. Penglibatan Mufti Negeri Perlis dalam majlis ini menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kualiti pendidikan dan pembangunan profesionalisme pendidik di Malaysia.