Perlis, 9 Ogos 2024, Khutbah Jumaat pada minggu ini mengangkat tema "Mengharapkan Husnul Khatimah," yang menekankan kepentingan penutup kehidupan yang baik dan penuh keberkatan. Konsep husnul khatimah, atau pengakhiran yang baik, merupakan dambaan setiap Muslim yang ingin meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang diredhai oleh Allah SWT. Khatib menerangkan bahawa husnul khatimah merujuk kepada pengakhiran kehidupan seseorang Muslim yang dalam keadaan beriman dan diredhai Allah SWT. Ini bermakna seseorang itu menutup usianya dengan amalan-amalan soleh, meninggalkan dunia ini dengan kalimah tauhid di bibir, serta dalam keadaan berusaha mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Khatib turut menekankan beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh umat Islam untuk memperoleh husnul khatimah antaranya, istiqamah dalam Ibadah, memperbanyakkan sedekah dan amal jariah serta meminta keampunan Allah secara berterusan. Menuntut ilmu agama juga merupakan salah satu usaha untuk kita menggapai pengakhiran yang baik.
Khutbah ini turut menjelaskan meski pun hanya Allah yang mengetahui siapakah di kalangan para hambaNya yang memperolehi husnul khatimah (kematian yang baik) namun terdapat tanda-tanda bagi husnul khatimah yang boleh kita lihat berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Antaranya mengucap kalimah syahadah sebelum meninggal, meninggal dalam keadaan berpeluh dahinya, mendapat taufiq dan hidayah oleh Allah swt untuk beramal soleh sebelum dia meninggal dunia serta meninggal dengan perasaan gembira dan senang hati untuk bertemu dengan Allah SWT. Mati syahid termasuk juga dalam mati husnul khatimah.
Khatib mengakhiri khutbah dengan mengingatkan jemaah tentang kepentingan sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian. Hidup di dunia ini adalah sementara, dan setiap Muslim perlu berusaha keras untuk memastikan pengakhiran hidup mereka adalah dalam keadaan yang terbaik di sisi Allah SWT. Husnul Khatimah yang sebenar itu ialah apabila kita mati dalam keadaan mentauhidkan Allah serta bebas dari dosa syirik dan beramal dengan amalan yang soleh.
Semoga khutbah pada minggu ini memberi kesedaran kepada kita semua tentang pentingnya mengharapkan husnul khatimah dan menjalani kehidupan dengan penuh keimanan dan ketakwaan, agar kita semua termasuk dalam golongan yang diredhai Allah SWT pada penghujung hayat kita.