12 Julai 2024 : Umat Islam diseru untuk mempertingkatkan ilmu dan amal soleh. Seruan ini telah disampaikan oleh khatib dalam khutbah Jumaat Negeri Perlis yang bertajuk “ Bertambah Umur, Bertambah Ibadah”. Khutbah yang dikeluarkan oleh pihak JMNPs bersempena dengan kedatangan awal tahun hijrah 1446, memberi ingatan kepada seluruh umat Islam untuk memanfaatkan sebaik mungkin usia yang berbaki dalam mencari redha Allah dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah yang soleh.
Mimbar Jumaat pada hari ini juga menyeru umat Islam khususnya di Negeri Perlis untuk mempelajari atau menuntut sebanyak mungkin ilmu pengetahuan agama yang berkaitan dengan akidah, ibadah dan akhlak serta mengamalkannya.
Khutbah berkenaan juga, turut memberikan anjuran agar umat Islam sentiasa melazimi solat secara berjemaah, melakukan ibadah puasa sunnat, memperbanyakan amalan sedekah dan amalan-amalan soleh yang lain. Peningkatan usia kita seharusnya seiring malah lebih lagi dalam peningkatan amalan kita.
Menurut Puan Emi Yusmidar Binti Md. Yusoff, khutbah minggu ini amat signifikan dan sewajarnya diambil iktibar oleh semua masyarakat terutamanya golongan wanita. Puan Emi Yusmidar merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam di Unit Penerbitan JMPs. Beliau turut berpendapat pertambahan tahun dan usia seharusnya selari dengan akal dan amalan. Seperti resminya padi, semakin menunduk semakin berisi.