Oleh : Zulkifli Khobin 1 April 2024
Gambar : Unit Komunikasi Korporat SUK Perlis
Alor Setar-Mufti Negeri Perlis berkesempatan menyambut ketibaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas Kedah pada jam 2.00 petang.
Rangka lawatan YAB Perdana Menteri ke Negeri Perlis kali ini bertujuan untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perlis 2024 yang bertempat di Masjid Nurul Huda, Chuping, Perlis. YAB Perdana Menteri turut meluangkan masa untuk berbincang berkenaan pembangungan Negeri Perlis. YAB Tuan Haji Mohd Shukri Bin Ramli, Menteri Besar Perlis turut membentangkan pelan pembangunan dan senarai keutamaan projek pembangunan di Negeri Perlis. Mufti Negeri Perlis turut sama menghadiri kedua-dua majlis ini.
YAB Perdana Menteri turut berkesempatan menyantuni rakyat di Negeri Perlis dengan mengunjungi Bazar Ramadan Rahmah di Persiaran Wawasan, Kangar Perlis.
Mufti Negeri Perlis juga turut mengiringi YAB Perdana Menteri Malaysia bagi mengadap DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar. Selain itu, YBhg Sahibus Samahah Mufti turut berkesempatan mengadakan perbincangan secara tertutup bersama YAB Perdana Menteri.
Seterusnya YB Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis hadir mengiringi sambutan menghantar balik YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada jam 8.30 malam.
Turut hadir sama dalam Majlis sambutan balik ialah YB Tuan Mohd Radhi bin Abas, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YB Tuan Haji Zepri bin Saad, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YDH Datuk Muhammad bin Abdul Halim, Ketua Polis Negeri Perlis, YBhg. Dato' Azman bin Ibrahim, Ketua Pengarah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, (ICU), Puan Maznah binti Musa, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) serta Wakil-wakil Pejabat SUK Perlis dan ICU Negeri Perlis.