RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 di Dewan Warisan, Kangar.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat IstiadT Melayu Perlis (MAIPs) berkenan nenyampaikan hadiah kepada Johan Qari disandang oleh Khalil Khusairi Zainol, Naib Johan Muhammad Anas Abdul Hadi dan tempat ketiga adalah Muhammad Afif Mohd Zaki.
Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah pula turut berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada Johan Qariah yang telah dimenangi oleh Norsyafirah Jusoh, tempat kedua Siti Aishah Md Arif dan tempat ketiga, Nuradilah Azdi.
Bagi kategori Hafazan lelaki, turut dipertandingkan 1-10 Juzuk, 1-20 Juzuk dan 1-30 Juzuk. Bagi kategori wanita pula adalah 1-20 Juzuk dan 1-30 Juzuk.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, bahawa al-Quran diturunkan untuk dihayati dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, titah Baginda, umat Islam hendaklah memastikan bibir dan lidah sentiasa dibasahi dengan al-Quran.
Baginda bertitah, di Perlis, penekanan kepada pemerkasaan penguasaan al-Quran adalah sejak usia sekolah rendah lagi.Titah Baginda, Pelaksanaan Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) yang merangkumi kurikulum KAFA, SAPPs dan Kokurikulum KPM telah menekankan aspek penguasaan al-Quran dengan menjadikan Tafsir al-Quran Faizuddin sebagai rujukan utama.
“Selain itu, seminar-seminar berkaitan al-Quran, Tafsir, Ilmu Tajwid, dan sebagainya turut dilaksanakan demi menambahkan ilmu dan kecintaan kepada al-Quran. Bahkan, MAIPs melalui Guru Majlis turut melaksanakan Kelas al-Quran Majlis yang dilaksanakan di masjid-masjid, surau dan institusi-institusi terpilih”, titah baginda.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perlis merupakan Acara Rasmi Negeri dalam mensyiarkan al-Quran serta meningkatkan pengetahuan dan menanamkan rasa cinta masyarakat Islam terhadap al-Quran.
Program ini dianjurkan oleh agensi-agensi agama Islam Negeri Perlis yang diterajui MAIPs, Jabatan Mufti Negeri Perlis, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang bertanggungjawab memberikan kefahaman dan kesedaran yang betul kepada warga negeri ini agar menghayati al-Quran.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan ucapan selamat menyambut bulan suci Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh rakyat Perlis yang beragama Islam.
Sumber: Suara Merdeka