• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja Perlis Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Berkaitan Pelaksanaan Solat Aidiladha Dan Ibadah Korban Tahun 1444h / 2023

Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja Perlis Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Berkaitan Pelaksanaan Solat Aidiladha Dan Ibadah Korban Tahun 1444h / 2023

TITAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU PEMANGKU RAJA PERLIS TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PELAKSANAAN SOLAT AIDILADHA DAN IBADAH KORBAN TAHUN 1444H / 2023.

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah Azza Wajalla, kita diberikan kesempatan untuk memperbanyakkan amalan soleh di sepuluh hari yang terawal dalam Bulan Zulhijjah bagi tahun ini. Menjelang ketibaan Aidiladha dan Hari Tasyrik yang mulia, maka sukacita dihebahkan berkaitan Pelaksanaan Solat Aidiladha dan Ibadah Korban bagi tahun 1444H / 2023M seperti ketetapan berikut:
 
SOLAT AIDILADHA
 
1- Solat Aidiladha di seluruh Negeri Perlis DIGALAKKAN untuk dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang diselaraskan pada jam 8.00 pagi seperti pelaksanaan pada tahun sebelum ini.
Pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada KETETAPAN oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW.
 
2- Walaubagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, tempat dan bilangan jemaah yang hadir.
 
3- Bagi pelaksanaan Solat Aidiladha selain musolla yang ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Kariah seperti surau rasmi dalam Negeri Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
 
4- Dalam keadaan cuaca yang tidak sesuai, Solat Aidiladha akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada jam 8.15 pagi. Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada jam 7.45 pagi.
 
5- Adalah DIGALAKKAN kepada para jemaah untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu seperti memakai pelitup muka (face-mask) serta membawa sejadah sendiri.
 
6- Bagi pelaksanaan Solat Aidiladha di Kariah Kota Raja Arau (Masjid Negeri Arau), solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau seperti ketetapan masa di atas. Sekiranya keadaan cuaca yang tidak sesuai, Solat Aidiladha akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.
 
7- Pengurusan Masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidiladha seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.
 
8- Sebarang keperluan untuk penyelarasan atau persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Aidiladha, sila hubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di Laman facebook Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
 
PENGANJURAN IBADAH KORBAN
 
9- Semua pihak samada masjid, surau (berdaftar), Jabatan / Agensi Kerajaan dan NGO adalah dibenarkan untuk mengelola dan menganjurkan ibadah korban tertakluk kepada SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
 
10- Pelaksanaan ibadah korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan di kawasan-kawasan berikut:
a) Rumah sembelihan milik kerajaan & swasta;
b) Masjid / surau berdaftar; dan
c) Premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis.
 
11- Semua penganjur yang menguruskan ibadah korban perlu membuat semakan bagi penyediaan tempat yang sesuai untuk tujuan pelaksanaan proses penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan korban. Kriteria tempat adalah seperti berikut:
a) Bersih dan tidak tercemar; dan
b) Tiada kacau ganggu.
 
HARAPAN DAN NASIHAT
 
Besarlah harapan saya agar segala ketetapan yang terkandung dalam hebahan ini sentiasa dijunjung tinggi, diamati serta dipatuhi oleh seluruh rakyat yang saya kasihi.
 
Pada kesempatan ini, saya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan, ri’ayah dan pemeliharaan ke hadapan DYMM Tuanku Raja Perlis. Alhamdulillah dan syukur kehadrat Allah Azza Wajalla, tahap kesihatan Baginda amat baik dan dalam ‘afiyah. DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis turut bersyukur dan menzahirkan terima kasih atas segala doa dan ucapan seluruh rakyat jelata.
 
Selain itu, saya turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidiladha ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan amalan soleh, berpuasa pada hari-hari sebelumnya serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua. Semoga segala ibadah korban yang dilaksanakan, akan diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah Azza Wajalla.
 
Saya dan DYTM Raja Puan Muda Perlis serta seluruh usrah kerabat DiRaja menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha 1444H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs (1920): MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Pemangku Raja Perlis
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah adalah 1444H

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 450
Semalam 1090
Minggu Ini 1540
Bulan Ini 19436

Keseluruhan 3091729

   Masa Capaian : 0.87 saat    Kemaskini :  09/12/2024