ARAU: Jemaah di masjid-masjid seluruh negeri ini kembali dibenarkan merapatkan saf ketika solat berjemaah berkuat kuasa waktu Subuh, Sabtu ini.
Kebenaran itu selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan Covid-19 di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keputusan itu juga dibuat apabila meneliti kadar peratus vaksinasi lengkap dan peningkatan dos penggalak di negeri ini yang mencapai kadar 16.9 peratus atau 30,575 penerima sehingga 2 Januari lalu.
Titah baginda, didapati penularan wabak Covid-19 di negeri ini adalah terkawal.
“Jemaah yang hadir diwajibkan merapatkan saf ketika menunaikan solat dengan kadar jarak sejadah masing-masing dan sejadah adalah bersaiz standard dan tiada berlaku sentuhan fizikal.
“Walau bagaimanapun, jemaah yang tinggal di rumah yang sama adalah diwajibkan merapatkan saf tanpa mengikut syarat-syarat tersebut,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Titah baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), semua prosedur operasi standard (SOP) hendaklah dikekalkan termasuk memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid, tiada sentuhan fizikal serta mereka yang lengkap vaksinasi.
“Semua masjid di negeri ini adalah tertakluk kepada SOP ini manakala surau atau tempat solat awam kekal tidak dibuka,” titah baginda.
Seterusnya baginda berharap, seluruh rakyat di negeri ini sentiasa mematuhi SOP dan ketetapan yang telah diperkenankan.
“Nikmat kesihatan dan keselamatan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT haruslah disyukuri dengan kesungguhan mengimarahkan masjid selain meneruskan ikhtiar pencegahan penularan wabak Covid-19 dalam suasana norma dan kelaziman baharu,” titah baginda.
Sumber : Utusan Malaysia