• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Titah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Berkaitan Pembukaan Penuh Masjid Dan Aktiviti Pengimarahan Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Bermula 19 Februari 2021

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PEMBUKAAN PENUH MASJID DAN AKTIVITI PENGIMARAHAN SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN BERMULA 19 FEBRUARI 2021
 
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, sukacita dimaklumkan bahawa Baginda menzahirkan kesyukuran atas limpah kurnia Allah SWT yang sentiasa merahmati Perlis tercinta dengan pengurangan jangkitan wabak Covid-19. Baginda dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, turut menitahkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat yang Baginda Berdua kasihi, atas komitmen yang tinggi dalam memastikan rantaian jangkitan wabak ini dapat diputuskan.
 
Melihat situasi semasa di Perlis, sementelahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 19 Februari 2021 yang merupakan satu-satunya negeri di bumi Malaysia tercinta, Baginda telah berkenan menitahkan beberapa perkara bersangkutan pengimarahan masjid di seluruh negeri Perlis seperti berikut:
 
PELAKSANAAN SEPENUHNYA AKTIVITI DI MASJID DENGAN PENJAGAAN SOP
 
1. Aktiviti di masjid yang sebelum ini dihadkan, diperkenankan untuk dilaksanakan sepenuhnya. Sehubungan itu, aktiviti pengimarahan termasuk kuliah, kelas pengajian dan sebagainya adalah diperkenankan bermula waktu Subuh pada tarikh 19 Februari 2021 sehingga ke tarikh akhir PKPP yang diumumkan.
 
2. Pelaksanaan sebarang aktiviti adalah dibenarkan dengan pematuhan segala SOP Kesihatan dan Keselamatan seperti memakai pelitup separuh muka, melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter pada setiap masa, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid, tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal, serta melaksanakan penjejakan sosial (mengimbas Kod QR MySejahtera / mendaftar pada buku), selain disyaratkan sihat tubuh badan. Demi kebaikan semua, mereka yang tidak sihat, bergejala serta berisiko dijangkiti atau menjangkiti adalah tidak dibenarkan hadir ke masjid.
 
3. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan golongan wanita turut dibenarkan hadir.
 
4. Namun begitu, sebagai langkah kawalan dan pencegahan, sebarang aktiviti jamuan makan / kenduri, bermalam dan majlis sosial yang tidak dibenarkan oleh pihak berwajib seperti KKM, MKN, dan sebagainya tidak diperkenan untuk dilaksanakan di masjid.
 
5. Kebenaran ini terpakai di SEMUA MASJID seluruh negeri Perlis SAHAJA dan turut diperluaskan di SURAU ASRAMA seperti titah perutusan terdahulu [MAIPs. 100 – 6 Jld 7 (95)] dan [MAIPs. 100 – 6 Jld 7 (96)]. Pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh negeri Perlis masih tidak dapat diizinkan.
 
PELAKSANAAN AKAD NIKAH & PENGURUSAN JENAZAH
 
6. Akad nikah dan pengurusan jenazah dibenarkan dengan pengekalan pelaksanaan seperti titah perutusan saya terdahulu [MAIPs. 100 – 6 Jld 7 (97)] pada 4 Februari 2021.
 
HARAPAN & SERUAN
 
Menggalas amanah sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), besarlah harapan saya agar seluruh rakyat yang dikasihi, membulatkan tekad dan jatidiri untuk meneruskan kawalan kendiri dan pematuhan SOP supaya Perlis yang tercinta akan segera kembali berada di ‘Zon Hijau’.
 
Saya menyeru seluruh rakyat yang dikasihi, untuk terus berdoa kepada Allah Azza Wajalla, melaksanakan perintah-Nya serta meninggalkan barang perkara yang ditegah-Nya.
 
Di kesempatan ini, saya turut mendoakan kesejahteraan buat seluruh rakyat yang dikasihi serta mengucapkan “selamat menduduki peperiksaan” kepada semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2020 yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
 
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
 
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
 
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
 
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh : 18 Februari 2021 bersamaan 6 Rejab 1442H
 
149313442 2811008989216577 1695189266181210993 n149016301 2811009019216574 6768848624916240812 n

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 430
Semalam 1090
Minggu Ini 1520
Bulan Ini 19416

Keseluruhan 3091709

   Masa Capaian : 0.84 saat    Kemaskini :  09/12/2024