• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Titah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Berkaitan Pengurusan Masjid Dan Surau Ekoran Pelaksanaan Semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Disebabkan Penularan Tempatan Wabak Covid-19

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PENGURUSAN MASJID DAN SURAU EKORAN PELAKSANAAN SEMULA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) DISEBABKAN PENULARAN TEMPATAN WABAK COVID-19
 
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah menerima pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai perkembangan semasa penularan Wabak COVID-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Perlis bermula 22 Januari hingga 4 Februari 2021, serta setelah mendapat panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, maka Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan ini mengambil beberapa keputusan berkaitan pengurusan masjid dan surau seperti berikut:
 
AKTIVITI BERKUMPULAN DI MASJID DAN SURAU
 
1. Bersetuju supaya segala aktiviti terbuka secara berkumpulan di masjid dan surau seluruh negeri Perlis termasuk solat berjemaah dihentikan seketika.
 
Walaubagaimanapun, solat berjemaah dan Solat Jumaat dibenarkan di surau kepada para pelajar yang tinggal di asrama dengan syarat tidak mempunyai pergerakan keluar serta tiada kontak dengan pihak luar. Sebagai langkah keselamatan, pengurusan asrama hendaklah memastikan pematuhan terhadap ketetapan seperti di para 5 serta memastikan tiada penyertaan jemaah lain yang tidak tinggal bersama.
 
Dalam pada itu, umat Islam diseru untuk menunaikan solat secara berjemaah di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula waktu maghrib pada 21 Januari 2021 sehingga waktu isyak 4 Februari 2021 atau sehingga suatu tarikh akhir pelaksanaan PKP seperti yang diumumkan oleh Kerajaan jika berlaku pelanjutan.
 
LAUNGAN AZAN
 
2. Laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan hay’alatain (حى على الصلاة، حى على الفلاح) kepada (صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ) (Solatlah di rumah kamu), berdasarkan riwayat al-Bukhari (668) dan Muslim (699) daripada Ibn 'Abbas RA. Inilah salah satu pandangan yang dibolehkan seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi RH di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim 5/207.
 
Lafaz azan yang dilaungkan adalah seperti berikut:
الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر،
أشهد أن لا إله إلا الله، أشهد أن لا إله إلا الله،
أشهد أن محمدًا رسولُ الله، أشهد أن محمدًا رسولُ الله،
صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ، صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ،
الله أكبر، الله أكبر،
لا إله إلا الله
 
JEMAAH SOLAT 5 WAKTU DI MASJID
 
3. Bagi mengimarahkan masjid dengan solat 5 waktu berjemaah, HANYA Pegawai dan Jawatankuasa Masjid yang bertugas sahaja dibenarkan hadir (tidak melebihi 5 orang) setelah benar-benar dipastikan kebersihan dan kesihatan dengan menjaga ketetapan seperti di para 5.
 
JEMAAH SOLAT JUMAAT DI MASJID
 
4. Solat Jumaat hendaklah didirikan dengan jemaah yang terdiri daripada anak kariah termasuk imam / khatib dengan tidak melebihi kapasiti maksimum mengikut saiz masjid dan tidak kurang daripada 3 orang seperti yang dipraktikkan sebelum ini. Jemaah yang hadir hendaklah mematuhi ketetapan seperti di para 5.
 
Sebagai langkah pencegahan dan mengurangkan risiko penularan wabak, kehadiran menunaikan Solat Jumaat hendaklah terdiri daripada ANAK KARIAH SAHAJA. Mereka yang baru pulang dari kawasan luar atau melakukan aktiviti rentas sempadan dalam tempoh aktif penularan termasuk bukan warga tempatan adalah tidak dibenarkan hadir.
 
KETETAPAN MENDIRIKAN SOLAT DI MASJID
 
5. Ketetapan mendirikan solat berjemaah dan Solat Jumaat di masjid:
 
i. Mereka yang diizinkan hadir hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran dalam daftar hadir atau mengimbas kod QR Aplikasi MySejahtera.
ii. Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas tidak dibenarkan hadir demikian kanak-kanak di bawah 15 tahun.
iii. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema adalah tidak dibenarkan hadir. Begitu juga mereka yang berisiko kerana mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir. Juga disyaratkan bukan daripada golongan berisiko menularkan seperti kontak rapat atau yang terlibat dengan kuarantin di rumah sama ada Pesakit Dalam Siasatan (PUI) atau Individu Dalam Pemerhatian (PUS).
iv. Melaksanakan penjarakan fizikal termasuk semasa solat sekurang-kurangnya 2 meter.
v. Individu yang hadir wajib memakai pelitup separuh muka (face-mask) termasuk ketika menunaikan solat.
vi. Mestilah berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri bersaiz standard, iaitu melitupi keseluruhan ruang solat setiap seorang jemaah, dari tempat berdiri sehingga ke tempat sujud.
vii. Bagi solat 5 waktu, jemaah hendaklah hadir ke masjid apabila azan dilaungkan. Hanya muazzin perlu hadir awal bagi tujuan melaungkan azan;
viii. Memendekkan tempoh keberadaan di masjid;
ix. Tempoh masa bermula azan hingga selesai solat 5 waktu dan Solat Jumaat adalah 15 minit sahaja.
x. Tiada kontak fizikal dibenarkan seperti berjabat tangan di masjid sama ada sebelum atau selepas solat.
xi. Setelah selesai solat semua yang hadir hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid.
xii. Dipertanggungjawabkan kepada semua Pengerusi Masjid untuk memastikan semua syarat di atas dipatuhi. Masjid yang tidak mampu untuk memenuhi kesemua syarat-syarat dalam panduan di atas adalah tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat berjemaah dan Solat Jumaat berkenaan.
 
PROSES NYAHKUMAN
 
6. Masjid-masjid hendaklah melaksanakan proses cucian / nyahkuman / disinfection oleh setiap Pegawai / Jawatankuasa Masjid yang hadir bertugas.
PENANGGUHAN AKTIVITI MASJID DAN SURAU
 
7. Menangguhkan semua aktiviti masjid dan surau sama ada kelas, kuliah dan pengajian dalam tempoh PKP. Pengajaran secara dalam talian (online) tanpa perhimpunan fizikal boleh dilaksanakan sebagai alternatif.
 
8. Dinasihatkan kepada semua masyarakat untuk mengelakkan sebarang perkara dan aktiviti yang dapat menyumbang ke arah penularan wabak COVID-19 berkenaan.
 
Oleh hal yang demikian, pengurusan masjid dan surau di seluruh Negeri Perlis hendaklah melaksanakan tindakan-tindakan seperti yang telah ditetapkan bermula waktu Maghrib pada 21 Januari 2021 sehingga waktu Isyak 4 Februari 2021 atau sehingga tempoh pelaksanaan PKP dan memberikan perhatian penuh dalam aspek pembersihan masjid. Tempoh pelanjutan ketetapan ini akan dipertimbangkan setelah mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berwajib.
 
Marilah kita berdoa kepada Allah Azza Wajalla, agar segera mengembalikan Perlis yang tercinta kepada keadaan yang aman sentosa, terpelihara daripada kesukaran, keperitan dan mara bahaya.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
 
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
 
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
 
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh : 20 Januari 2021 bersamaan 7 Jamadil Akhir 1442H
 
139249543 2789229808061162 5516040994335173423 n140306234 2789229861394490 3318851470815456235 n139646951 2789229894727820 2286796261406701333 n140008117 2789229914727818 6765470581330854163 n

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 635
Semalam 982
Minggu Ini 2707
Bulan Ini 20603

Keseluruhan 3092896

   Masa Capaian : 0.92 saat    Kemaskini :  09/12/2024