TITAH PERUTUSAN DYTM TUANKU YANG DIPERTUA MAIPs BERKAITAN KELONGGARAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT DAN SOLAT 5 WAKTU MASJID SELURUH NEGERI PERLIS
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah mengambil kira keadaan dan suasana terkini fasa pemulihan penularan pandemik Covid-19 serta pengekalan 72 hari tanpa penambahan kes positif baharu sejak 7 April 2020 lalu di negeri Perlis, maka Baginda telah memperkenankan Prosedur Operasi Standard (SOP) menunaikan Solat Jumaat dan solat berjemaah 5 waktu seperti yang terkandung dalam Titah Perutusan [MAIPs.100 – 6 Jld 7( 85 )] pada 10 Jun 2020 lalu dengan kelonggaran perkara-perkara berikut:
1- Jemaah berusia 60 tahun dan ke atas dibenarkan hadir. Manakala usia minimum dikekalkan pada 18 tahun. Selain itu, kelonggaran turut diberikan kepada pesakit kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya dengan syarat sihat tubuh badan. Memandangkan kelonggaran tersebut, maka SOP penjarakan sosial 2 meter dikekalkan namun pengurangan jarak bakal dipertimbangkan secara berperingkat.
2- Kuliah Maghrib dan Subuh dibenarkan untuk dilaksanakan seminggu sekali selama 30 minit oleh Guru Takmir atau Guru Majlis yang akan diselaraskan pelaksanaannya oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.
3- Pemakaian kebenaran ini adalah terhad kepada masjid di seluruh negeri Perlis sahaja dan TIDAK melibatkan surau bermula Sabtu, 20 Jun 2020.
Sebagai manusia, kita hendaklah sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT dan janganlah mudah alpa serta hendaklah bersiap siaga menghindari ujian ini daripada berulang mendatangi kita. Semoga segala usaha dan ikhtiar kita diperkenankan oleh Allah SWT.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Raja Muda Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 18 Jun 2020 bersamaan 26 Syawal 1441H