KUALA PERLIS, 6 Mei 2019 (Isnin) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke ‘Majlis Cerapan Hilal Awal Ramadhan 1440 Hijrah bersamaan 2019 Masehi’ yang diadakan di Balai Cerapan Pantai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, pada petang semalam.
Program tersebut adalah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Perlis. Taklimat mengenai Data-data Rukyah Hilal disampaikan oleh Pengarah JUPEM Perlis, Ahmad Azmi Hashim.
Baginda berdua kemudiannya berkenan menyaksikan penandatanganan Pengesahan Rukyah Hilal Ramadhan pada tahun ini.
Tuanku Raja Muda turut menitahkan ucapan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam di negeri ini dan menasihatkan agar sempena bulan Ramadan yang mulia ini juga, dijaga kesihatan diri masing-masing sebaik mungkin dengan mengamalkan: · Bersahur. · Pemakanan yang sihat dengan pemilihan nutrisi yang betul. · Meminum air yang mencukupi. · Mengurangkan pengambilan lemak, garam dan gula. serta · Membeli juadah yang sihat dan di gerai yang bersih.
Sejurus selepas itu baginda berkenan untuk berangkat menunaikan solat maghrib, isyak dan sunat terawih secara berjemaah bersama para pemimpim negeri di Masjid Terapung Al Hussain Kuala Perlis.
Sumber daripada UTUSAN ONLINE