KUALA LUMPUR: Kempen ‘Buy Muslim First’ yang diketengahkan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini boleh diperluaskan ke peringkat antarabangsa bagi mengukuh ekonomi umat Islam.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mengemukakan saranan itu, menjelaskan kempen berkenaan harus dilihat dari perspektif positif dan menolak sebarang tanggapan kononnya ia bersifat rasis.
“Apabila kita menyarankan supaya orang Islam membantu sesama mereka, ada pihak tidak bersetuju, malah mereka bimbang ia akan dilihat cuba mempromosikan ‘rasisme’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi speaker pada sesi pleno bertajuk ‘Pengagihan Kekayaan: Perkongsian Kemakmuran’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Sesi dipengerusikan Ahli Lembaga Penasihat KL Summit, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Selain Mohd Asri, empat lagi speaker ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Dalam Negeri Maldives, Imran Abdallah; Setiausaha Agung Majlis Pertubuhan Muslim Amerika Syarikat, Oussama Jamal; dan wakil Kyiv National University Ukraine, Dr Mohamed Amine Mokra.
Mohd Asri berkata, dengan memiliki pasaran 1.7 bilion penduduk Islam di seluruh pelosok dunia, kempen seperti itu boleh meningkatkan daya beli dalam kalangan mereka.
“Kuasa membeli ini boleh dieksploitasi secara positif untuk membantu negara Islam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, negara Islam masih bergantung pada Barat biarpun mereka memiliki sumber kekayaan seperti minyak dan gas.
Katanya, keadaan menyedihkan itu terjadi disebabkan negara Islam tidak memiliki blok perdagangan sendiri yang boleh melonjakkan ekonomi mereka.