Kangar, 8 Mac 2025 – Kuliah Dhuha Muslimat siri pertama sempena program Jom Ramadan di Perlis telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Alwi, Kangar. Kuliah yang disampaikan oleh Ustazah Nor Faezah binti Hassan, Pegawai Institut Sunnah dan Irsyad, Jabatan Mufti Negeri Perlis, merupakan permulaan bagi siri enam kuliah yang mengupas doa-doa ma’thur daripada sunnah, berdasarkan buku terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Masjid Alwi dan PUSPANITA Cawangan Negeri Perlis. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Datin Musidah binti Mohid @ Mohamad, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Perlis; YM Puteri Nurlin Syazwani binti Mohamad Yaacob; serta YBhg. Puan Maizura binti Shamsuddin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).
Kuliah ini menekankan kepentingan berdoa dengan doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW serta bagaimana ia boleh diamalkan dalam kehidupan seharian bagi mendekatkan diri kepada Allah, mengikut tatacara yang diajarkan oleh Nabi SAW.
Sebagai tanda penghargaan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025, yang bertemakan "Wanita Beraspirasi, Membina Legasi", PUSPANITA Cawangan Negeri Perlis menghadiahkan sekuntum bunga kepada semua jemaah wanita yang hadir. Inisiatif ini bukan sahaja menceriakan suasana tetapi juga sebagai simbol penghormatan terhadap peranan wanita dalam masyarakat.
Kuliah Dhuha Muslimat akan diteruskan dalam lima lagi siri seterusnya sepanjang Ramadan, dengan harapan dapat memperkukuh pemahaman wanita Muslimah di Negeri Perlis tentang doa-doa ma’thur daripada sunnah