Arau, 26 Februari 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah berjaya menganjurkan Seminar Akidah: Bahaya Ajaran Sesat yang bertempat di UiTM Arau, Perlis. Seminar ini telah diurus setiakan oleh Institut Sunnah dan Irsyad, Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Seminar ini bertujuan untuk memberikan kefahaman yang jelas mengenai akidah yang benar serta ancaman terhadap kesuciannya dalam Islam. Beberapa sesi pembentangan telah diadakan dengan menampilkan tokoh-tokoh dalam bidang berkenaan, antaranya YBhg. Sheikh Wan Syukri bin Wan Ismail Fatoni, Maulana Fakhrurazi, dan YBhg. Ustaz Abu Mubarak Mohamad Syafiq. Ketiga-tiga pembentang tersebut telah membentangkan kertas kerja berkaitan ancaman, ciri-ciri, serta penyelewengan dalam ajaran sesat.
Mufti Negeri Perlis turut menyampaikan ucaptama dengan menekankan kepentingan memelihara akidah yang benar serta keperluan memiliki ilmu yang sahih agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang. Seminar ini telah dihadiri oleh guru-guru KAFA, guru-guru agama Islam di Perlis, kakitangan awam, serta masyarakat umum.
Majlis perasmian telah disempurnakan dengan jayanya oleh YAB Tuan Mohd. Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis. Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar berharap agar masyarakat di Negeri Perlis sentiasa teguh dalam memelihara akidah dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang.
Pada majlis yang sama, turut dilancarkan Program Jom Ramadan di Perlis 2025, yang akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan bertempat di Masjid Alwi, Kangar.
Seminar ini turut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).