Kangar, 17 Januari 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam khutbah Jumaat hari ini mengupas topik bertajuk "Hukuman Allah Datang Dengan Pelbagai Cara" yang mengajak umat Islam untuk merenung hikmah dan peringatan daripada pelbagai ujian yang berlaku di dunia.
Khutbah tersebut menekankan bahawa segala musibah yang berlaku adalah ketentuan Allah, sama ada sebagai ujian untuk meningkatkan keimanan hamba-Nya atau sebagai peringatan atas kezaliman dan kelalaian manusia.
Salah satu contoh yang dikaitkan dalam khutbah ialah kebakaran besar yang melanda Los Angeles baru-baru ini, yang menyebabkan kemusnahan harta benda, alam sekitar, dan kehilangan nyawa.
Kebakaran di Los Angeles ini harus menjadi iktibar kepada kita semua. Ia mengingatkan betapa lemahnya manusia apabila berdepan dengan kekuasaan Allah.
Mimbar Jumaat memberikan peringatan kepada sidang jemaah berkenaan keangkuhan manusia terhadap adalah sifat yang dicela oleh Allah dan pasti mengundang kemurkaanNya.
Jika diimbas kembali dengan apa yang berlaku di Gaza, kemusnahan di Gaza memakan masa yang lama, akibat pengeboman dan sekatan yang dilakukan oleh rejim Zionis. Namun, kemusnahan yang berlaku di Los Angeles begitu cepat dan seharusnya kita mengambil iktibar dari kejadian ini.
Musibah seperti ini seharusnya menjadikan kita lebih insaf dan mendekatkan diri kepada Allah, bukan sekadar menyalahkan takdir atau mencari alasan materialistik semata-mata.
Khutbah ini ditutup dengan doa agar Allah melindungi umat manusia daripada sebarang musibah, mengurniakan keselamatan kepada mereka yang ditimpa bencana, dan memberikan hidayah kepada seluruh manusia untuk kembali kepada-Nya.