10 Sebab doa tidak Mustajab oleh Ibrahim bin Adham RH (162-H)
(Oleh : Ustaz Hanafy bin Zakariya (Pegawai Mubaligh)
Ibrahim bin Adham adalah salah seorang tokoh yang hebat dikenali sebagai seorang yang zuhud dan wara’, beliau berasal dari keturuan yang kaya akan tetapi beliau meninggalkan kekayaannya semata-mata untuk mengutamakan akhirat.
Yunus al-Balkhi RH berkata: “Ibrahim bin Adham adalah termasuk golongan yang mulia, ayahnya adalah orang yang banyak harta dan hamba sahaya.”
(Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Zahabi)
Al-Zahabi RH berkata: “Ibrahim bin Adham adalah sebagai idola, seorang imam ikutan yang arif, lahir sekitar tahun 100-H.
(lihat Siyar A’lam al-Nubala’)
Nasihat Ibrahim bin Adham RH:[1]
Syaqiq bin Ibrahim menceritakan sebuah kisah yang berlaku di kota Basrah, “Suatu hari Ibrahim bin Adham melintasi sebuah pasar, orang ramai berkumpul kepadanya seraya berkata, “Wahai Abu Ishaq, Allah berfirman dalam al-quran:
ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ
Maksudnya: “Berdoalah kepada-Ku, pasti akan Aku berkenan.” (Ghafir: 60)
Sudah lama kami berdoa meminta sesuatu kepada-Nya, tetapi hingga kini doa kami belum dikabulkan?”
Mendengar aduan tersebut, Ibrahim bin Adham berkata, “Wahai penduduk Basrah, sesungguhnya hati kamu telah mati disebabkan sepuluh perkara, iaitu:
عَرَفْتُمُ اللهَ ولَمْ تُؤَدُّوا حَقَّهُ
Pertama: Kamu mengenal Allah, tetapi tidak menunaikan hak-Nya.
قَرَأْتُمْ كِتَابَ اللهِ ولَمْ تَعْمَلُوا بِهِ
Kedua: Kamu membaca kitab Allah (Al-Quran), tetapi kamu tidak mengamalkannya.
ادَّعَيْتُمْ حُبَّ رَسُولِ اللهِ وَتَرَكْتُمْ سُنَّتَهَ
Ketiga: Kamu mendakwa mencintai Rasulullah, tetapi Kamu meninggalkan Sunnahnya.
ادَّعَيْتُمْ عَدَاوَةَ الشَّيْطَانِ وَوَافَقْتُمُوهُ
Keempat: Kamu mendakwa permusuhan terhadap Syaitan, tetapi kamu menurut kemahuannya.
قُلْتُمْ نُحِبُّ الْجَنَّةَ ولَمْ تَعْمَلُوا لَهَا
Kelima: Kamu berkata kami cintakan syurga, tetapi kamu tidak melakukan amalan untuk membawa ke syurga.
قُلْتُمْ نَخَافُ النَّارَ وَرَهَنْتُمْ أَنْفُسَكُمْ بِهَا
Keenam: Kamu berkata kami takut masuk neraka, tetapi kamu menggadaikan diri kamu untuknya.
قُلْتُمْ إِنَّ الْمَوْتَ حَقٌّ وَلَمْ تَسْتَعِدُّوا لَهُ
Ketujuh: Kamu berkata bahawa kematian itu pasti, tetapi kamu tidak pernah mempersiapkan bekal untuk menghadapinya.
اشْتَغَلْتُمْ بِعُيُوبِ إِخْوَانِكُمْ وَنَبَذْتُمْ عُيُوبَكُمْ
Kelapan: Kamu sibukkan diri dengan aib saudara kamu dan abaikan aib sendiri.
أَكَلْتُمْ نِعْمَةَ رَبِّكُمْ ولَمْ تَشْكُرُوهَا
Kesembilan: Kamu makan nikmat tuhanmu, tetapi kamu tidak bersyukur atas nikmat tersebut.
دَفَنْتُمْ مَوْتَاكُمْ وَلَمْ تَعْتَبِرُوا بِهِمْ
Kesepuluh: Kamu selalu mengebumikan mayat dikalangan kamu, tetapi kamu tidak pernah mengambil pengajaran darinya.