PRINSIP ISLAM DALAM MENDEPANI ISU VAKSIN SEBAGAI IKHTIAR MENGUBATI PENYAKIT COVID - 19
(Oleh : Ustazah Nor Faezah Binti Hassan(Pegawai Isnad)
Belakangan ini, dunia telah diuji dengan penyakit berjangkit iaitu Covid-19 yang mengakibatkan pelbagai kemudaratan dan juga kematian. Oleh itu, pihak kerajaan telah memilih vaksin sebagai salah satu penawar untuk mengawal penyakit covid-19 untuk setakat ini. Akan tetapi, masih ada segelintir masyarakat yang takut untuk mengambilnya. Jadi, apakah prinsip islam dalam mendepani isu vaksin ini sebagai ikhtiar.
Perlu kita ketahui, antara tujuan vaksin ditetapkan oleh pihak berwajib kerana ianya bertepatan dengan maqasid syariah iaitu menjaga nyawa. Maka sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim untuk mencari alternatif demi memelihara maqasid ini yang juga bertepatan dengan kaedah fiqh:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَار
“Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”
Bahkan, Islam merupakan agama yang menitikberatkan soal kesihatan dengan meletakkan beberapa prinsip asas dalam mendepani penyakit, sebelum dan juga semasa penyakit menimpa seseorang. Antara prinsip yang diajarkan oleh Islam dalam berhadapan dengan penyakit adalah seperti berikut:
Prinsip(1) Berdoa kepada Allah S.W.T
Berdoa untuk mengelakkan diri dari ditimpa penyakit seperti doa-doa dan zikir yang diajarkan menerusi pelbagai nas yang sahih seperti:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ وَالْجُنُونِ وَالْجُذَامِ وَمِنْ سَيِّئِ الأَ سْقَامِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta, dan juga penyakit-penyakit berbahaya yang lain.” (Riwayat Abu Daud )
Prinsip (2) selain berdoa kita hendaklah berusaha iaitu Mencegah
Antara langkah pencegahan yang disyorkan oleh Rasulullah S.A.W sebelum dan juga selepas seseorang itu terlibat dengan penyakit berjangkit. Diriwayatkan oleh Abd Al-Rahman bin ‘Auf R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
“Sekiranya kamu mendengar mengenai taun yang menimpa sesuatu kawasan, maka janganlah kamu masuk ke tempat tersebut. Sekiranya ia berlaku di sesuatu kawasan dan kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar daripadanya untuk melarikan diri darinya. (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menjelaskan sekiranya seseorang itu mengetahui akan penularan sesuatu wabak di tempat tertentu, janganlah dia pergi ke tempat tersebut bagi mengelakkan dirinya daripada dijangkiti penyakit tersebut. Manakala jika seseorang itu telah berada dalam kawasan yang merebak padanya wabak, tindakan pencegahan yang diambil bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut adalah dengan cara tidak keluar dari kawasan tersebut, bagi mengelakkan penularannya ke kawasan-kawasan yang lain.
Jika kita perhatikan, pihak kerajaan telah mengamalkan prinsip ini dengan mengambil pelbagai langkah pencegahan seperti Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kali ke-3 sudah dijalankan setakat ini.
Bahkan, pelbagai kaedah atau SOP seperti menjarakkan diri daripada individu yang menghidap penyakit berjangkit yang telah ditetapkan oleh kementerian kesihatan bertepatan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ
“Dan hendaklah kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa.” (Riwayat al-Bukhari)
Prinsip (3) Merawat.
Selain mencegah, pihak kerajaan juga telah memilih vaksin sebagai langkah untuk merawat & melindungi diri dengan ubat bertepatan dengan Hadis daripada Usamah bin Syarik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ
“Hendaklah kamu merawat (penyakit) kerana sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit melainkan Dia turut menyediakan ubat baginya, melainkan satu penyakit sahaja iaitu ketuaan.”
(Riwayat Abu Daud & Riwayat Ahmad)
Manakala dalam sebuah Hadis yang lain, Nabi S.A.W bersabda:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ ، فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.”
(Riwayat Muslim (2004))
Prinsip (4) Tawakal.
Setelah segala usaha dan ikhtiar dilakukan, agama mengajar kita agar menyerahkan segala urusan seterusnya kepada Allah S.W.T. Inilah bentuk tawakal iaitu penyerahan diri yang mutlak kepada Allah setelah usaha-usaha dilakukan. Allah S.W.T berfirman:
فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِینَ
“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”(ali ‘Imran: 159)
Inilah pegangan akidah sejati seorang Muslim, setelah berusaha serta bertawakal kepada Allah S.W.T dalam setiap tindakan yang dilakukan.
Akan tetapi, perlu kita fahami, seandainya kita telah mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengikut sop-sop yang telah ditetapkan, namun seseorang itu tetap diuji juga dengan penyakit atau ahli keluarga yang mengambil vaksin ditimpa musibah komplikasi sehingga mengakibatkan kematian. Maka hendaklah dia menenangkan dirinya dengan firman Allah S.W.T:
قُل لَّن یُصِیبَنَاۤ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡیَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa sama sekali ujian tidak akan menimpa kita melainkan apa yang telah Allah tetapkan untuk kita. Dia lah pelindung kita, dan kepada Allah jugalah golongan beriman itu perlu bertawakal.” (al-Taubah: 51)
Sebagai kesimpulan, menjadi tuntutan kepada kita untuk merawat penyakit. Begitu juga, mengambil jalan pencegahan terlebih dahulu sebelum terkena wabak atau sebarang penyakit seperti suntikan vaksin COVID-19. Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan.
Perlu kita fahami, sebenarnya setiap langkah yang diambil itu merupakan suatu rawatan terhadap takdir Allah dengan menggunakan takdir-Nya yang lain. Ia sama sekali tidak bermaksud menolak takdir Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Umar Ibn Al-Khattab R.A:
نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَهِ إِلَى قَدَرِ اللَهِ
“Kita lari daripada takdir Allah menuju kepada takdir-Nya (yang lain).” (Riwayat Al-Bukhari)