FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

IRSYAD HUKUM SIRI 11

Hukum Beriktikaf Di Rumah Pada 10 Akhir Ramadan

Soalan :

Bolehkah saya beriktikaf di rumah disebabkan pihak pemerintah tidak membenarkan beriktikaf di masjid kerana penularan wabak COVID-19?

Jawapan :

الحمد لله وحدة والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، أما بعد:

  1. Iktikaf merupakan salah satu daripada sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga diikuti oleh para sahabat Baginda. Ia membawa maksud keberadaan seseorang di dalam masjid dengan niat beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pensyariatan iktikaf ini merujuk firman Allah SWT :

وَلاَ تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu semua menggauli mereka (para isteri) sedangkan kamu beriktikaf di masjid-masjid. (Surah al-Baqarah: 187)

  1. Hukum beriktikaf di masjid adalah sunat pada setiap masa dan yang terbaiknya apabila ia ditunaikan pada 10 akhir Ramadan berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW yang melaziminya dalam tempoh tersebut. (Zad al-Ma‘ad, jil1, ms.83). Berkata Ibn al-Mundhir rahimahullah : “Merupakan suatu ijma‘ bahawa hukum iktikaf itu adalah sunat dan ia bukan sesuatu yang wajib melainkan jika seseorang itu mewajibkan (seperti nazar) ke atas dirinya”. (al-Ijma’, ms.53).
  1. Berkenaan dengan tempat beriktikaf, hampir keseluruhan para sarjana menetapkan bahawa antara syarat sah iktikaf adalah di masjid yang ditunaikan solat berjemaah lima waktu dan ada antaranya yang menyatakan bahawa perkara ini merupakan kesepakatan para sarjana sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah rahimahullah. (al-Mughni, jil.3, ms.189). Dalam hal ini telah berkata al-Nawawi rahimahullah : “Tidak sah iktikaf daripada seseorang lelaki melainkan di masjid berdasarkan firman Allah SWT :

وَلا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu menggauli mereka (isteri-isteri kamu) sedangkan kamu beriktikaf di masjid-masjid. (Surah al-Baqarah: 187)

Maka ini merupakan dalil bahawa ia tidak boleh dilaksanakan melainkan di masjid.” (al-Majmu‘, jil.6, ms.478).

  1. Hadis-hadis Baginda SAW juga mengisyaratkan iktikaf terutamanya dalam 10 akhir Ramadan hanya dilakukan di masjid dan ayat 187 Surah al-Baqarah yang disebutkan sebelumnya menunjukkan amalan iktikaf seseorang itu terputus apabila meninggalkan masjid untuk berjima‘ dengan isterinya. Diriwayatkan juga daripada Aishah r.a bahawa Baginda SAW apabila beriktikaf di masjid, Baginda tidak masuk ke rumah melainkan untuk tujuan penting sepertimana kata beliau:

وَكَانَ لَا يَدْخُلُ الْبَيْتَ إِلَّا لِحَاجَةِ الْإِنْسَانِ

Maksudnya: Dan adalah Baginda SAW tidak masuk ke dalam rumah melainkan untuk memenuhi hajat seorang insan (hanya untuk perkara-perkara yang penting sahaja). (Riwayat Muslim: 297).

Hal ini menunjukkan rumah itu bukanlah tempat yang diketahui umum pada zaman Baginda dan para sahabat untuk beriktikaf.

  1. Walaupun begitu terdapat juga pandangan yang membenarkan iktikaf itu dilakukan di rumah sepertimana pandangan terdahulu (Qaul Qadim) al-Imam al-Shafi‘e dan juga daripada segelintir Malikiyyah. (Fath al-Bari, jil.4, ms.271).
  1. Melihatkan pada hujah para sarjana, maka pendapat yang menyatakan bahawa iktikaf itu hanya dilaksanakan di masjid adalah lebih kuat berbanding pendapat yang mengharuskan ia dilaksanakan di rumah. Walaupun iktikaf itu tidak dapat ditunaikan dalam situasi penularan wabak COVID-19, namun roh ibadah itu tidak terhenti kerana mempertingkatkan kualiti ibadah pada malam-malam akhir Ramadan perlu digandakan dan ibadah-ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya masih mampu dilaksanakan di rumah masing-masing. Malah mereka yang berazam untuk beriktikaf di masjid seperti kebiasaan 10 akhir Ramadan insha Allah akan mendapat ganjaran tersebut sepertimana yang difahami daripada sabda Rasulullah saw:

إِذَا مَرِضَ العَبْدُ، أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir maka dicatatkan untuknya ganjaran sepertimana yang dilakukan oleh orang yang bermukim dan sihat. (Sahih al-Bukhari:2996)

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)