• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Zikir Dan Doa Secara Berjemaah Dengan Suara Kuat Selepas Solat Di Sisi Ulama Mazhab Syafie

Bahagian Buhuth  & Istinbath

Jabatan Mufti Negeri Perlis

 

Asal dalam permasalahan zikir dan doa selepas menunaikan solat fardhu di sisi ulama mazhab Syafi‘e hendaklah dilakukan secara perlahan atau sirriyyah. Setiap individu sama ada imam atau makmum berzikir secara bersendirian. Tidak disyariatkan menjaharkannya melainkan dalam satu keadaan sahaja, iaitulah jika imam mahu memberi pengajaran kepada makmum. Inilah hasil kefahaman yang dapat disimpulkan dari teks-teks para ulama mazhab Syafi‘e yang tersebar secara meluas, yang menunjukkan zikir dan doa selepas solat fardhu itu secara sir dari dua hadis daripada Ibn ‘Abbas dan Ibn al-Zubair RA, iaitulah:

Pertama: al-Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:  

أنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النّاسُ مِن المَكْتُوبَةِ كانَ عَلى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ - ﷺ

maksudnya: “Bahawa meninggikan suara dengan zikir ketika orang ramai selesai menunaikan solat fardhu berlaku dahulu di zaman Rasulullah SAW.” 

Kata beliau lagi:

كُنْتُ أعْلَمُ إذا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إذا سَمِعْتُهُ وفِي لَفْظٍ: ما كُنّا نَعْرِفُ انْقِضاءَ صَلاةِ رَسُولِ اللَّهِ - ﷺ - إلّا بِالتَّكْبِيرِ

Maksudnya: “Aku dahulu dapat mengetahui apabila orang ramai selesai dari menunaikan solat fardhu, apabila aku mendengarnya (zikir selepas solat).” 

Dalam lafaz lain dinyatakan: 

“Tidaklah kami mengetahui selesainya solat Rasulullah SAW melainkan (dengan kami mendengar) takbir.”  

Ibn al-Humam al-Hanafi (ابن الهُمَام الحنفي) dalam Fath al-Qadir 1/440 ketika memberi komentar kepada hadis ini berkata:

“Adapun takbir yang disebut dalam riwayat, Allah sahaja yang lebih mengetahui tentangnya. Ada dikatakan, tiada seorangpun dalam kalangan fiqaha yang diketahui ada berkata tentangnya melainkan apa yang disebut oleh sebahagian mereka tentang al-Bu‘uth wa al-‘Asakir  (البُعُوثِ والعَساكِرِ/kumpulan tentera dalam operasi peperangan) selepas solat Subuh dan Maghrib melaungkan takbir sebanyak tiga kali dengan suara yang tinggi.”

Badr al-Din al-‘Aini al-Hanafi dalam Syarah Abi Daud 4/28 memberi komentar dengan berkata:

وبهذا استدل بعض السلف أنه يستحب رفع الصوت بالتكبير والذكر عقيب المكتوبة، وممن استحبه من المتأخرين: ابن حزم الظاهر. وقال ابن بلال: أصحاب المذاهب المتنوعة وغيرهم متفقون على عدم استحباب/ رفع الصوت بالتكبير والذكر حاشا ابن حزم. وحَمل الشافعي هذا الحديث على أنه جهر ليُعلمهم صفة الذكر؛ لا ابنه كان دائما

Maksudnya:  “Dengan riwayat ini, sebahagian salaf menjadikan dalil sunatnya mengangkat suara dengan bertakbir dan zikir selepas solat fardhu. Dari kalangan ulama mutaakhirin yang menganggapnya sunat ialah Ibn Hazm al-Zahiri. Berkata Ibn Battal: “Para ashab mazhab-mazhab yang diikuti dan selain mereka (dari kalangan ulama) bersepakat, tidak disunatkan meninggikan suara bertakbir dan berzikir melainkan Ibn Hazm. al-Syafi‘e memahami hadis ini, bahawa zikir dan takbir secara jahar itu bertujuan mengajar mereka (para sahabat) sifat zikir, bukan perkara tersebut berlaku berterusan.”

Badr al-Din al-‘Aini juga berkata: 

“Ibn al-Qasim meriwayatkan daripada Malik (yang berkata): “Sesungguhnya (meninggikan suara selepas solat fardhu) adalah muhdath (rekaan).” Daripada ‘Abidah pula yang berkata: “Ia adalah bid‘ah.” Kata Ibn Battal lagi: “Dalam perkataan Ibn ‘Abbas ini terdapat dalil (bukti) bahawa ketika beliau menyatakan perkara tersebut, tidak ditinggikan suara ketika berzikir dan bertakbir selepas solat fardhu. Ini kerana, jika perkara itu (meninggikan suara zikir selepas solat fardhu) dilakukan, maka tidak ada makna perkataannya itu. Demikian juga bertakbir selepas solat fardhu bukan suatu yang dilazimi oleh baginda sepanjang hayat. Maka para sahabat baginda memahami bahawa perkara itu bukan suatu yang mesti. Lalu mereka meninggalkannya kerana bimbang akan disangka termasuk perkara yang menjadikan tidak sempurna solat melainkan dengannya. Kerana itu dalam kalangan ulama ada yang memakruhkannya.”

Kedua: al-Imam al-Syafi‘e meriwayatkan dalam al-Umm daripada Abi al-Zubair yang mendengar Abdullah bin al-Zubair RA berkata:

كان رسول اللَّه ﷺ إذا سَلّمَ مِن صَلاته يَقُول بِصَوتِه الأعلى:

Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW apabila memberi salam solat akan mengucapkan dengan suara yang tinggi:

لاَ إله إلاَّ اللَّهُ وحْدَهُ لاَ شَريكَ لَهُ لَهُ الملْكُ ولَهُ الحمدُ وهُوَ عَلى كُلِ شئ قَدِيرْ لاَ إله إلاَّ اللَّهُ ولاَ حَولَ ولاَ قُوَّةَ إلاَّ باللَّهِ ولاَ نَعْبُدُ إلاَّ إيّاهُ لَهُ الفَضْلُ ولَهُ الثَّناء الحَسَنُ لاَ إله إلاَّ اللَّهُ مُخلصين لَهُ الدينَ ولو كره الكافرونَ

Seterusnya kata al-Imam al-Syafi‘e:

وهَذا مِن المُباحِ لِلْإمامِ وغَيْرِ المَأْمُومِ قالَ: وأيُّ إمامٍ ذَكَرَ اللَّهَ بِما وصَفْت جَهْرًا، أوْ سِرًّا، أوْ بِغَيْرِهِ فَحَسَنٌ وأخْتارُ لِلْإمامِ والمَأْمُومِ أنْ يَذْكُرا اللَّهَ بَعْدَ الِانْصِرافِ مِن الصَّلاةِ ويُخْفِيانِ الذِّكْرَ إلّا أنْ يَكُونَ إمامًا يحب أنْ يُتَعَلَّمَ مِنهُ فَيَجْهَرَ حَتّى يَرى أنَّهُ قَدْ تُعُلِّمَ مِنهُ، ثُمَّ يُسِرُّ فَإنَّ اللَّهَ يَقُولُ: ﴿ولا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ ولا تُخافِتْ بِها﴾ [الإسراء ١١٠] يَعْنِي واَللَّهُ تَعالى أعْلَمُ الدُّعاءَ ولا تَجْهَرْ تَرْفَعْ ولا تُخافِتْ حَتّى لا تُسْمِعَ نَفْسَك

Maksudnya: “(Kata al-Syafi‘e): “Dan ini (meninggikan suara zikir) termasuk dari perkara yang harus bagi imam, tidak bagi makmum.” Beliau (al-Syafi‘e) juga berkata: “Mana-mana imam yang berzikir kepada Allah secara jahar (kuat) atau sir (perlahan) atau selainnya, maka perkara itu baik. Aku memilih bagi imam dan makmum untuk berzikir kepada Allah selepas selesai solat secara memperlahankan zikir tersebut melainkan seorang imam yang mahu diambil pengajaran daripadanya. Maka imam tersebut menjaharkan (zikir selepas solat) sehingga dia melihat telah diambil pelajaran daripadanya (oleh orang ramai). Kemudian hendaklah dia memperlahankan (zikirnya), kerana Allah SWT berfirman: “Dan jangan kamu menjaharkan (menyaringkan) bacaan solat dan doa kamu, demikian juga jangan (terlalu) perlahankannya.” (al-Isra: 110) iaitulah Allah Taala yang lebih mengetahui doa (seseorang) dan jangan kamu menyaringkannya dengan tinggi dan jangan juga terlalu perlahan sehingga kamu tidak mendengarkannya untuk dirimu sendiri.”   

Zikir Dan Doa Selepas Solat Secara Perlahan Adalah Pandangan Imam Syafi‘e Yang Dinukilkan Oleh Para Ashab

Zikir dan doa selepas solat secara sir adalah pandangan yang dijelaskan oleh al-Imam al-Syafi‘e RH. Pandangan dan perkataan beliau dalam perkara ini dinukilkan oleh para Ashab mazhab Syafi‘e dalam semua peringkat mazhab, sama ada pada peringkat al-Ta’sis, al-Ta’rif, al-Intisyar, al-Istiqrar mahupun pada dua marhalah al-Tanqih. Antara perkataan al-Imam al-Syafi‘e yang disebarkan oleh para Ashab beliau ialah:

  1. al-Imam al-Baihaqi RH (w458H) dalam Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar 3/107 daripada al-Imam al-Syafi‘e yang berkata:

وأحسبه إنما جهر قليلا؛ يعني في حديث ابن عباس وابن الزبير؛  ليتعلم الناس منه؛ وقد ذكرت أم سلمة مكثه؛ ولم تذكر جهرا؛ وأحسبه لم يمكث إلا ليذكر ذكرا غير جهر

Maksudnya: “Dan daku mengira baginda hanya menjaharkannya seketika, iaitulah dalam hadis Ibn ‘Abbas dan Ibn al-Zubair, agar dipelajari daripada baginda. Ummu Salamah ada menyebut, baginda ada tetap (kekal duduk selepas salam solat), dan Ummu Salamah tidak menyebut baginda menjaharkan (zikir). Daku mengira baginda tidak kekal duduk melainkan untuk berzikir secara tidak jahar.”

  1. al-Imam al-Nawawi RH (w676H) dalam al-Majmu’ 3/487 berkata:

قال أصحابنا إن الذكر والدعاء بعد الصلاة يستحب أن يسر بهما إلا أن يكون إماما يريد تعليم الناس فيجهر؛ ليتعلموا، فإذا تعلموا وكانوا عالمين أسرهُ

Maksudnya: “Berkata Ashab kami, sesungguhnya zikir dan doa selepas solat sunat diperlahankan, melainkan bagi imam jika mahu mengajar orang ramai, maka imam memperkuatkannya agar mereka dapat mempelajarinya. Jika mereka telah mempelajari dan mengetahuinya, maka imam tersebut memperlahankannya.”

Dalam Raudhah al-Talibin 1/268, al-Imam al-Nawawi RH berkata:

ويسن الدعاء بعد السلام سرا؛ إلا أن يكون إماما يريد تعليم الحاضرين الدعاء فيجهر

Maksudnya: “Dan disunatkan doa selepas salam (solat fardhu) secara perlahan, melainkan seorang imam yang mahu mengajar orang ramai yang hadir berdoa, maka imam boleh menguatkannya.”  

Dalam al-Tahqiq, hal. 219, beliau berkata:

يندب الذكر والدعاء عقيب كل صلاة، و يُسر به، فإذا كان إماما يريد أن يعلمهم جهر، فإذا تعلموا أسر

Maksudnya: “Disunatkan zikir dan doa selepas solat (fardhu), dan dilakukan secara perlahan. Jika imam mahu mengajar orang ramai, maka imam boleh menguatkannya. Apabila orang ramai telah mempelajarinya, maka imam kembali memperlahankannya.”  

  1. al-Imam Ibn al-Mulaqqin (w804H) dalam ‘Ujalah al-Muhtaj Ila Taujih al-Minhaj 1/224 berkata:

قلت: ويستحب الدعاء أيضا، ويسر بهما إلا أن يكون إماما يريد التعليم

Maksudnya:  “Daku katakan: “Dan disunatkan juga berdoa (selepas solat) dan dilakukan secara perlahan, melainkan imam yang mahu mengajar (orang ramai).”

  1. Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari RH (w926H) dalam al-Ghurar al-Bahiyyah Fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah 1/339 berkata:

يسن الدعاء والذكر عقب كل صلاة، وكون ذلك بالمأثور والإسرار به إلا أن يريد تعليم المأمومين، فيجهر، فإذا تعلموا أسر .

Maksudnya: “Disunatkan doa dan zikir selepas solat (fardhu). Demikian itu dilakukan berdasar yang yang ma’thur dan secara diperlahankan, melainkan imam yang mahu mengajar makmumnya, maka imam itu kuatkan. Apabila makmum telah mempelajarinya, maka imam itu perlahankam semula.”

  1. al-‘Allamah Muhammad bin Ya’qub al-Syafi‘e al-Fairuzabadi RH (w818H) dalam Safar al-Sa‘adah 1/42:

أما الدعاء الذي يفعله الأئمة بعد السلام فإنه لم يكن من عادة النبي - ﷺ -، ولم يثبت في هذا الباب شيء من الأحاديث وهو بدعة مستحسنة وجميع أدعية الصلاة كانت في نفس الصلاة وبذلك أمر. وبعض أئمة العلم يقول: الذكر، والتهليل، والتسبيح، والتمجيد، عند الفراغ من الصلاة، مشروع بلا خلاف. وتستحب الصلاة على النبي - ﷺ -، فناسب أن نعقب ذلك بالدعاء وطلب الحاجات من حضرة ذى العزة

Maksudnya: “Adapun doa (berjemaah dan dengan suara kuat) yang dilakukan oleh para imam (masjid) selepas salam solat, maka ia bukan dari kebiasaan Nabi SAW. Tidak thabit perkara ini sesuatupun dari hadis baginda. Ia adalah perkara bid‘ah yang dianggap baik. Seluruh doa solat adalah di dalam solat, demikian itulah yang diperintahkan. Sebahagian daripada ulama ikutan berkata:  “zikir, tahlil, tasbih, dan tamjid selepas selesai solat disyariatkan tanpa ada perbezaan pendapat. Maka disunatkan selawat ke atas Nabi SAW, maka sesuai disusuli selepas itu doa dan meminta berbagai keperluan ketika berada di hadapan tuhan yang memiliki kemuliaan.”

  1. al-Syeikh al-Khaidhari al-Syafi‘e RH (w894H) dalam Zahr al-Riyadh Fi Radd Ma Syani‘ahu al-Qadhi ‘Iyadh berkata:

وعامة أدعية النبي صلى الله عليه وسلم إنما كانت في الصلاة، لا بعدها، ولم ينقل إلينا أن النبي صلى الله عليه وسلم، ولا أصحابه، كانوا يجلسون بعد انقضاء الصلاة للدعاء، كما يفعل في هذه الأعصار

Maksudnya: “Dan kebanyakan doa-doa Nabi SAW hanyalah dilakukan di dalam solat bukan selepasnya. Tiada dinukilkan kepada kita bahawa Nabi SAW, demikian juga para sahabat baginda, kekal duduk selepas selesai solat untuk berdoa (secara berjemaah) sepertimana yang dilakukan di zaman ini.”

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 137
Semalam 1955
Minggu Ini 137
Bulan Ini 47878

Keseluruhan 2697654

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  19/7/2024